Selangorkini
SELANGOR

MB: “Sedia bantu penternak, siapkan tapak sesuai”

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri sedia membantu penternak haiwan ruminan di negeri itu dengan penyediaan tapak sesuai seandainya pihak terbabit bersetuju mencari penyelesaian bersama.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan nasib golongan itu dan tidak akan meminggirkan mereka dalam arus pembangunan negeri.

inovasi3“Kerajaan Negeri bersedia untuk menyiapkan tapak yang sesuai untuk penternakan bagi membantu golongan penternak di Selangor.

“Cuma kita mahu mendapat persefahaman di antara kedua-dua pihak (Kerajan Negeri dan penternak). Sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah dan kita tiada masalah untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor 2014 di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu lebih 1,300 penternak haiwan ruminan (lembu, kerbau dan kambing) yang dihimpit pembangunan dan masalah tanah terhad di Selangor dengan sebilangan daripada mereka sudah gulung tikar.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Mohammad Azmie Zakaria berkata semua kerajaan negeri disaran mengoptimumkan penggunaan 29,000 hektar kawasan yang diwartakan sebagai rizab ternakan bagi menjamin bekalan makanan negara.

Malah Kerajaan Negeri digesa membangunkan kawasan terbabit dengan infrastruktur asas seperti akses jalan, kandang dan kemudahan bekalan air dan elektrik bagi membela nasib golongan penternak.

Hanya dengan cara itu kedudukan kedudukan industri ternakan dapat dijamin ketika ia berdepan dengan proses urbanisasi dan himpitan pembangunan pesat di kebanyakan negeri termasuk Selangor.

EZY


Pengarang :