Selangorkini
SELANGOR

MB: Jaminan akses pendidikan kanak-kanak istimewa dijaga

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri kini dalam usaha mencari mekanisme bagi memastikan setiap kanak-kanak di Selangor memperoleh akses kepada pendidikan termasuk golongan istimewa.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata iltizam itu selaras dengan perlembagaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggariskan kanak-kanak cacat anggota juga patut diberikan penjagaan dan sokongan termasuk hak untuk mendapatkan pendidikan.

Hari Tadika Selangor 2014 MB (14)

Katanya, hasrat kesaksamaan dan keadilan itu bagaimanapun sehingga kini gagal dicapai di peringkat arus perdana.

“Kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini bukan saja memerlukan pendidikan yang baik, malah mereka mahu rasa menjadi sebahagian dari kehidupan bersekolah.

“Dalam semua keadaan, kanak-kanak dan anak muda yang kurang bernasib baik ini mahukan peluang sama dengan pelajar yang normal untuk mendapatkan kelayakan dan kemahiran yang membawa kepada peluang pekerjaan dan latihan peringkat tinggi untuk membolehkan mereka meraih keyakinan dan peluang untuk mengawal masa depan mereka,” katanya sewaktu menyempurnakan majlis perasmian Hari Tadika Selangor 2014 di Pusat Konvensyen Shah Alam, pagi tadi.

Majlis yang dihadiri lebih 5, 000 hadirin itu turut disertai Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS), Dr Supyan Husin.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengumumkan seramai 21, 209 peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) akan ditawarkan skim Hadiah Anak Masuk Sekolah pada tahun hadapan dengan peruntukan RM 1.1 juta.

“Anak-anak ini merupakan kumpulan pertama yang menyertai TAWAS pada 2008, kini mereka enam tahun dan bakal mulakan persekolahan tahun 2015.

“Setiap mereka akan menerima bantuan RM 50 setiap seorang sempena persekolahan bermula nanti,” katanya lagi.


Pengarang :