NASIONAL

PAC panggil Kem. Kesihatan Hospital Shah Alam tak siap

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan keterangan berhubung perkembangan pembinaan Hospital Besar Shah Alam yang masih belum disiapkan sehingga kini.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, antara perkara disentuh termasuk soal kelewatan penyiapan projek dan masalah peralatan hospital yang sudah tamat tempoh.

Parlimen Malaysia“Ada masalah projek terbengkalai ditinggalkan kontraktor asal. Kontraktor yang ambil alih juga bermasalah.

“Masalah berkaitan peralatan di dalam hospital luput kerana jangka masa pembinaan terlalu panjang menyebabkan alat itu luput,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC.

Beliau menjangkakan kesemua agensi dan kementerian bermasalah dipanggil memberikan keterangan bermula Januari 2015 sebelum laporan penuh dapat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat Mac 2015.

Secara keseluruhan, sebanyak 14 Kementerian dan agensi Badan Berkanun bakal dipanggil berikutan masalah dan pembaziran yang berlaku seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara Siri Ke-3.

Berikut adalah senarai kementerian dan agensi yang bakal dipanggil PAC:
A) Dibawah kategori program Audit Prestasi, PAC akan memanggil:
1- Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berhubung  Program 1Azam
2- Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan – Pengurusan dan pengendalian acara.
3- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (pengurusan subsidi biji benih padi sah).
4- Kementerian Dalam Negeri – PDRM pengurusan kenderaan MPV dan Motosikal URB serta pengurusan saman trafik
5- Kementerian Komoditi dan Perladangan – pengurusan program penanaman kenaf
B) Dibawah Audit Pembinaan PAC akan memanggil:
6- Kementerian Pengangkutan – projek pengalihan operasi KTMB dari tanjung Pagar ke Woodland, Singapura dan Kempas Baru, Johor
7- Kementerian Komunikasi – projek pembinaan pusat berita bersepadu
8- Kementerian Pendidikan- projek pembinaan sekolah sukan.  Kementerian yabg sama akan dipanggil dibawah Kategori ICT iaitu bagi projek, 1BestariNet dan pengurusan peralatan ICT.
9- Kementerian Kesihatan – Hospital Shah Alam belum siap dan pengurusan projek klinik kesihatan di Negeri Sarawak.
10- Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan Majlis Amanah Raya Malaysia (MARA) – Projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau, Kuala Kangsar dan KKTM Lenggong (MARA)
C) Projek Pensawataan kementerian akan dipanggil:
11- Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar – Pengurusan aktiviti penswastaan pengawasan udara dan penguatkuasaan punca tetap dan punca bergerak. Program ini didapati tidak capai sasaran.
D) Dibawah kategori hasil yang akan dipanggil:
12 – Kementerian Kewangan – Pengurusan wang tak dituntut
13- Kementerian Pertahanan – pengurusan bayaran faedah pesaraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
E) Badan berkanun yang akan dipanggil:
Majlis Amanah Raya (MARA) – Pengurusan Syarikat Malaysia Institute Of Aviation Technology Sdn Bhd.

 

EZY


Pengarang :