KENYATAAN MEDIA

Salah tadbir punca kemerosotan Zoo Negara?

Oleh: Zairil Khir Johari

Malaysia sememangnya bertuah menjadi sebuah negara yang kaya dengan sumber daya alam (biodiversiti). Malah, menurut Global Biodiversity Outlook yang diterbitkan oleh Sekretariat Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Malaysia berada di kedudukan ke-12 di dunia dalam Indeks Biodiversiti Kebangsaan.

Dengan kekayaan hidupan liar yang begitu menarik, kita sepatutnya memiliki sebuah zoo kebangsaan yang mampu mencerminkan warisan ini.

Panda-gergasiIa bukan sahaja harus menjadi tarikan pelancong semata-mata atau konservatori hidupan liar, tetapi juga sumber kebanggaan bagi inspirasi dan pendidikan untuk semua rakyat Malaysia.

Berdasarkan harapan ini, Zoo Negara telah ditubuhkan pada tahun 1963 di 110 hektar tanah di Ulu Klang, Kuala Lumpur.

Bermula dengan 89 jenis pameran, Zoo Negara kini telah berkembang untuk menampung 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Pada tahun 1986, Zoo Negara mencatatkan satu juta pengunjung dalam setahun.[1]

Walau bagaimanapun, keadaan semakin parah kini. Hari ini, pengunjung ke zoo akan kecewa dengan kebajikan haiwan yang terabai, sepertimana didokumentasikan dalam sebuah laporan oleh portal dalam talian The Ant Daily awal tahun ini,yang memperincikan bagaimana haiwan dikurung di dalam kandang kecil dan berlumpur, seolah-olah kekurangan zat makanan dan tidak dipedulikan.

Saya juga telah dimaklumkan bahawa Zoo Negara sudah hampir satu dekad tidak mempunyai pakar zoologi yang mempunyai pengalaman yang sesuai.

Ini adalah masalah yang kritikal, memandangkan pakar zoologi kanan adalah satu keperluan untuk memastikan pemuliharaan serta penjagaan hidupan liar yang sempurna.

Kemerosotan kualiti ini digambarkan melalui hakikat bahawa jumlah pengunjung telah menjunam.

Walaupun Zoo Negara telah mencapai satu juta pengunjung hampir 30 tahun yang lalu, jumlah pengunjung semasa berkisar sekitar 600,000 hingga 700,000 tahun, menurut Naib Presiden Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.[3]

Tidak cukup dengan itu, bayaran masuk Zoo Negara baru-baru ini telah dinaikkan kepada RM30 untuk orang dewasa warga Malaysia.

Hal ini tentunya merupakan jumlah yang tidak munasabah untuk zoo yang tidak memenuhi harapan awam. Memandangkan keluarga Malaysia umumnya membentuk majoriti pengunjung, bayaran masuk yang tinggi juga akan menjadi beban besar.

Malah, satu kajian Astro Awani yang dijalankan pada bulan Januari tahun ini mendapati bahawa 73.97 peratus responden sangat tidak setuju dengan yuran baru kerana mereka merasakan nilainya tidak berbaloi.

Walaupun pameran panda baru mungkin layak dikatakan sebagai daya tarikan, pelawat sebenarnya perlu membayar RM20 tambahan untuk melawat panda, lantas menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM50 bagi setiap orang dewasa Malaysia.

Penurunan drastik dalam jumlah pengunjung berbanding tiga dekad yang lalu adalah sesuatu yang membimbangkan, khususnya apabila kerajaan terus memberikan subsidi.

Bagi tahun 2013, RM10.1 juta telah diperuntukkan kepada zoo oleh kerajaan Persekutuan. Selain itu, RM25 juta juga telah diperuntukkan bagi pembangunan pameran panda.

Di sebalik sokongan berterusan daripada kerajaan dan yuran masuk yang lebih tinggi, mengapakah Zoo Negara tidak dapat meningkatkan kualiti dengan ketara? Jelas ada yang tidak kena.

Saya telah menerima maklumat bahawa laporan SPRM telah dibuat terhadap pengurusan zoo berkenaan dakwaan korupsi dan salah tadbir.

Ini dikatakan berlaku pada tahun lepas, dan saya telah dimaklumkan bahawa pegawai-pegawai SPRM telah mengunjungi zoo sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh ini.

Malangnya, pertanyaan saya di Parlimen mengenai isu ini menerima jawapan kabur daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Paul Low.

Menurut jawapan 4 Nvpember 2014, SPRM memang menerima maklumat mengenai isu ini, tetapi maklumat tersebut “masih dalam peringkat pengesahan.”

Oleh itu, saya menggesa kerajaan supaya lebih telus dalam perkara ini, dan mendedahkan status siasatan SPRM ke atas tuduhan rasuah dan salah urus Zoo Negara.

Di samping itu, saya ingin mencadangkan bahawa rancangan jangka panjang digubal untuk menangani bukan sahaja isu-isu pentadbiran, tetapi juga untuk merubah Zoo Negara menjadi zoo bertaraf dunia sesuai dengan kekayaan biodiversiti negara kita.

Adalah memalukan bahawa zoo kebangsaan kita berada dalam keadaan yang kurang memberangsangkan sedangkan negara jiran kita Singapura mampu berbangga dengan zoo kebangsaan mereka yang tersenarai sebagai “Lima Zoo Terbaik di Dunia” oleh CNN.[5]

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan


Pengarang :