SELANGOR

Sasar naik 30% pemberian Insentif Perkahwinan Belia

Oleh: Naeem Raffi

PETALING JAYA, 1 NOV : Kerajaan Selangor mensasarkan peningkatan 30 peratus bagi pemberian Insentif Perkahwinan Belia menjelang tahun hadapan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata hasrat itu akan dimulakan dengan melancarkan kempen besar-besaran bagi mempromosi program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) itu ke pengetahuan belia.

Insentif perkahwinan beliaIni kerana, menerusi kajiannya, masih ramai belia tidak mengetahui kewujudan program itu dan sebahagian daripadanya masih kabur tentang insentif tersebut.

“Rekod terkumpul setakat ini, sekitar 17,000 belia mendirikan rumah tangga telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri.

“Saya juga sedang mendapatkan statistik terkini dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melihat jumlah sebenar perkahwinan belia didaftarkan.

“Dalam usaha ini, kita mungkin dapat tingkatkan pendaftaran (jangkaan 30 peratus) menjelang tahun hadapan kerana masih ramai lagi belia belum mengetahui wujudnya insentif ini” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini seusai Majlis Penyerahan Insentif Perkahwinan Belia kepada 15 pasangan belia di Kompleks Arena PJ di sini, semalam.

Menerusi Insentif Perkahwinan Belia Selangor, setiap pasangan pengantin yang layak akan menerima RM500.

Pada fasa permulaan, Kerajaan Negeri hanya memberi insentif sejumlah RM200 setiap pasangan sebelum dinaikan kepada RM500.

EZY

 


Pengarang :