Selangorkini
SELANGOR

Sultan: Kerajaan Pusat patut sediakan peruntukan cukup selenggara peralatan tentera

KLANG 30 NOV: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Kerajaan Pusat memberikan peruntukan secukupnya bagi penyeliaan dan penyelenggaraan peralatan ketenteraan.

Baginda bertitah bagi menghadapi musuh mengancam negara, peralatan dan persenjataan sedia ada mesti diselia dengan baik dan sempurna supaya dapat digunakan pada bila-bila masa.

Sultan“Adalah amat mengecewakan jika memiliki aset yang maju dan canggih tetapi tidak boleh digunakan dan disimpan di dalam stor atau gudang kerana tidak mempunyai alat ganti disebabkan kekurangan kewangan,” titah Baginda Sultan yang juga Kapten Yang di-Pertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Baginda bertitah demikian pada majlis Santapan Diraja Kapten Yang Dipertua TLDM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Istana Alam Shah di Istana Alam Shah semalam.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Seri Roslan Saad, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kira-kira 800 pegawai TLDM, TUDM dan PDRM.

Selain itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meminta semua peringkat pasukan keselamatan negara supaya berkhidmat dengan penuh jujur dan ikhlas serta mengutamakan kualiti kerja yang cemerlang.

“Gejala rasuah, salah guna kuasa dan mengutamakan kepentingan peribadi hendaklah dielakkan,” titah baginda.

Baginda juga memuji langkah kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan meminta ia diperluaskan dari masa ke semasa.

Baginda turut menyeru rakyat supaya memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan agar matlamat untuk mengekalkan keamanan di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya.

EZY


Pengarang :