KENYATAAN MEDIA

Turun 7 Nov untuk Malaysia yang lebih baik

Oleh: Muhamad Azan Safar

Saya menonton perlawanan bola sepak UEFA Champions League awal pagi tadi menyaksikan Arsenal hanya sekadar mampu mengutip 1 mata apabila seri 1-1 dengan Anderlact.

Saya memang peminat Arsenal tapi yang lebih penting, saya gemar memerhati pola dan corak yang digunakan dalam setiap perlawanan yang dimain Arsenal.

Turun_logoKadang-kadang gelagat pengadil dan penjaga garisan juga mencuri tumpuan. Contohnya apabila berlaku sesuatu foul atau kesalahan yang disalah hukum oleh pengadil, pasti semua pemain akan mengerumuni pengadil membantah keputusan tersebut walaupun hakikatnya keputusan pengadil tak pernah akan berubah, itu pasti.

Namun sebagai pemain yang tahu keputusan itu salah mereka tetap protes dan bantah kerana mereka tahu itu kebenaran, walaupun mereka juga tahu keputusan pengadil adalah muktamad.

Hasilnya, kadang-kadang pengadil akan lebih berhati-hati dalam memutuskan sebarang hukuman selepas itu bahkan kadang-kadang juga ada pengadil yang buat tak nampak apabila berlaku kesalahan lain kerana dia tahu dia tersalah menghukum tadi.

Itulah juga realiti di Malaysia. Setiap kali berlaku sesuatu isu yang melibatkan kezaliman dan penindasan pemerintah, rakyat akan turun ke jalanraya untuk protes.

Sesetengah orang yang agak skeptik dengan demonstrasi mempersoalkan adakah kerajaan akan mendengar protes rakyat? Adakah harga minyak akan turun?

Adakah akta hasutan akan dimansuhkan? Lebih malang mereka juga tidak memberi sebarang usaha dan alternatif untuk mengeluarkan rakyat daripada penindasan.

Rakyat yang prihatin dengan penindasan yang berlaku dan terang di matanya akan kebenaran pasti tak akan mempu berdiam diri apabila kezaliman berleluasa dan pemerintah bermaharajalela.

Mereka yang hanya kabur dengan kebenaran akan memilih untuk tidak berbuat apa-apa kerana tidak pasti dengan tidakan yang patut di ambil.

Penindasan ke atas rakyat oleh pemerintah di Malaysia bukannya hal yang baru. Sehingga selepas Pembentangan Bajet 2015 oleh YAB Perdana Menteri, kita tidak merasa apatah lagi berjumpa dengan apakah sebenarnya titik penyelesaian untuk rakyat merasa ringan dengan beban kos sara hidup yang mereka hadapi pada hari ini.

Laporan daripada Perbendaharaan Negara menunjukkan isi rumah yang berpendapatan RM4000 dan ke bawah akan menerima kenaikan daripada RM140 hingga RM700 dalam perbelanjaan tahunan mereka bahkan yang berpendapatan RM4000 ke atas akan menerima kesan kenaikan belanja sekurangnya RM1550 setahun.

Lebih parah ialah jurang di antara orang kaya dan miskin yang semakin ketara. Sebagaimana perbahasan Bajet 2015 oleh Ketua Pembangkang di parlimen, data yang dipetik daripada sebuah buku tulisan Muhammad Abdul Khalid yang bertajuk “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” antaranya menyebut hanya 10% golongan terkaya yang memegang daripada 77% aset kewangan negara bahkan jumlah tersebut adalah 14,211% lebih tinggi daripada purata rakyat keseluruhannya.

Dari skop hartanah pula, 32% rakyat yang tinggal di Bandar tidak mempunyai hartanah, dan begitu juga 17% di desa.

Manakala 10% kumpulan terkaya memiliki 294% aset hartanah lebih tinggi daripada purata rakyat. Kegilaan apakah ini? Apakah negara ini hanya dipunyai oleh orang kaya dan yang miskin menjadi hamba di bumi sendiri.

Orang miskin dan susah, rakyat marhein jauh sekali untuk berfikir soal aset kewangan mahupun aset hartanah, sedangkan tanah yang mereka miliki dan terokai juga diceroboh dan dirampas oleh orang kaya dalam negara ini. Kerajaan hanya diam seribu bahasa sedang air mata rakyat membanjiri tanah air sendiri.

Kerajaan menggunakan alasan rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan subsidi petrol, kononnya untuk menampung perbelanjaan negara yang lain. Minyak naik maka harga gula, tepung, telur, susu dan barang-barang lain semuanya naik. Tambang bas juga naik sehingga 30%.

Ceritanya ialah duit yang dikutip hasil rasionalisasi subsidi menunjukkan duit negara tak pernah cukup namun pemerintah tak pernah menjawab laporan Global Finance Integrity yang mendakwa sejak 2002 sehingga 2011 Malaysia kehilangan dana terkumpul sebanyak RM1.2 Trillion. Duit tiris lesap keluar negara, akhirnya diperah poket duit rakyat untuk menanggung kegagalan urus tadbir mereka.

Lalu adakah rakyat yang baik ialah dengan memendam sahaja kebenaran yang jelas terang benderang di siang hari atau kita memilih untuk bangun dan lawan. Saya jangka kalau rakyat konsisiten dan bersatu hati bukan sahaja kerajaan takut untuk terus menindas bahkan Dato Seri Najib yang memerintah hari ini juga boleh tumbang.

Justeru, saya mewakili NGO yang terlibat dan rakyat marhein menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berpimpin tangan sama-sama kita turun 7 November ini untuk Malaysia yang lebih baik.

Salam reformasi.

*Penulis adalah Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN)


Pengarang :