Selangorkini
NASIONAL

Turunkan harga RON95, bukan salur duit untuk ‘projek’ BN

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus membuat pengumuman penurunan harga RON 95 dan diesel ketika Perhimpunan Agung Umno, minggu hadapan.

Naib Presiden yang juga Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, pengumuman itu penting bagi mewujudkan situasi stabil yang kini semakin terhimpit dengan kemarahan rakyat.

Katanya, pengumuman itu juga mampu mengurangkan kritikan dalaman dan membantu populariti Najib di kalangan rakyat yang semakin merudum.

Minyak“Pengumuman bahawa harga RON97 turun sebanyak 20 sen semalam membayangkan Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya tahu kemarahan rakyat yang semakin memuncak apabila harga petrol dan diesel tetap tidak turun.

“Sedangkan, harga minyak mentah di pasaran dunia jatuh 20 peratus sejak dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak tengah malam tadi, harga RON97 turun kepada RM2.55 seliter berbanding RM2.75 seliter sebelum ini.

Pada harga RM2.55 seliter, harga petrol RON97 hanya lebih 25 sen daripada harga petrol RON95 yang disubsidi kerajaan.

Tegas Rafizi, sebenarnya tanggungan subsidi petrol dan diesel Kerajaan Persekutuan hanya RM2 bilion bagi tahun 2015 apabila unjuran harga minyak mentah dunia kekal sekitar USD70 hingga USD80 setong bagi tahun 2015, .

Katanya, jumlah subsidi itu adalah penjimatan RM11 bilion bagi tahun 2015 dan penjimatan RM2 bilion bagi suku terakhir 2014.

rafizi“Penjimatan ini wajar dipulangkan kepada rakyat dan bukannya disalurkan kepada projek Barisan Nasional (BN) yang tidak memanfaatkan rakyat biasa.

“Jika, harga RON95 dan diesel tidak turun menjelang 1 Disember ini, PKR akan menggerakkan kempen menuntut #turunhargaminyak yang akan memuncak dengan satu demonstrasi pada 31 Disember ini,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi akan memulakan kempen di media sosial sebelum menjelajah negara bermula 1 Disember ini jika harga petrol RON95 dan diesel tidak diturunkan.

-NFN-


Pengarang :