NASIONAL

UM patut gugur pertuduhan pada aktivis mahasiswa serta merta

SHAH ALAM 2 NOV: Pentadbiran Universiti Malaya (UM) perlu menggugurkan semua dakwaan ke atas Fahmi Zainol serta merta berhubung himpunan bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, di hadapan Dewan Tunku Canselor pada 27 Oktober lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata pentadbiran UM tidak patut dilihat sebagai cerminan kepada sikap Barisan Nasional yang mahu mengawal dan ‘mencuci otak’ mahasiswa.

Mahasiswa UMKatanya, sebagai mahasiswa dan generasi baru, mereka seharusnya dipupuk dan dibimbing untuk berfikiran kritikal agar berdiri sama tinggi seiring negara maju dalam usaha pencarian ilmu pengetahuan.

“Sistem pendidikan kita telah gagal untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai pemikiran yang kritis. Maka, sudah tiba masanya untuk kita menggalakkan aktivisme mahasiswa yang cakna hal ehwal negara,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Katanya beliau kesal dengan pihak universiti yang mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Fahmi Zainol selaku Presiden Persatuan Mahasiswa UM dan lapan pelajar lain, kelmarin.

“Pentadbiran UM seolah-olah ‘berdendam’ dengan pelajar dan ahli akademik yang mempunyai pandangan tidak sealiran, melalui tindakan mengunci pagar dan menghalang pengucapan awam di dalam kampus,” katanya.

Kata Kit Siang, langkah itu bukan sahaja tidak meningkatkan kedudukan universiti, ia malah mencemarkan reputasi Malaysia di mata masyarakat akademik dan pemerhati antarabangsa.

“Mahasiswa adalah golongan idealistik, dan generasi muda seperti itu wajar didorong untuk sentiasa prihatin terhadap urusan negara tanpa perlu pengaruh politik kepartian,” katanya.

EZY


Pengarang :