Selangorkini
NASIONAL

Zunar: Undang-Undang tak boleh halang hasilkan karya ‘Kartun Kerajaan’

SHAH ALAM 14 NOV: Lebih 50 peratus hasil karya kartun yang dihasilkan Kartunis Zunar sejak 2009 memberi kesan mendalam kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga semua karyanya ditarik balik dan diharamkan.

Meskipun begitu, katanya, pihak berkuasa tidak akan berupaya menghalang beliau daripada terus mengkritik kerajaan melalui medium kartun.

Zunar n sijil abangsa“Saya hanya melukis apa yang dibuat oleh pemimpin kerajaan. Mereka buat rasuah, saya cuma kartunkan sahaja, dan bukan saya punca rasuah itu.

“Ini hak saya dan undang-undang tidak boleh haramkan pemikiran saya untuk menghasilkan karya saya dalam ‘mengkartunkan’ kerajaan,” katanya dipetik Keadilan Daily.

Zunar berkata beliau akan terus berkarya dan segala halangan tidak akan menjejaskan hasil karya beliau.

Bahkan katanya, beliau gembira apabila rakyat menerima kartun yang dihasilkan dan faham dengan mesej yang ingin disampaikan.

Zunar dalam pada itu turut mengingatkan kerajaan bahawa kartunis politik mempunyai peranan dalam sesebuah negara demokrasi, termasuk di Amerika Syarikat.

“Saya pernah dipanggil dalam forum kartunis di luar negara, ada kartunis di sana mengkritik (Barrack) Obama. Malah Presiden mereka memberi anugerah ke atas kritikan itu, bukannya mengenakan tindakan undang-undang seperti yang kerajaan Malaysia lakukan,” ujarnya.

Pada 6 November lalu, tiga pembantu Zunar ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Putrajaya kerana menjual dua buku kartun bertajuk “Konspirasi Memenjarakan Anwar” dan “Pirate of the Carry-BN “.

Pengendali laman web sesawang miliknya, www.Zunar.my turut dipanggil polis untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaque sebelum ini pernah ditemuramah dalam satu forum di San Fransissco, Amerika Syarikat kerana karya yang dihasilkan.

Beliau juga merupakan kartunis Malaysia yang menerima anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011 oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa.

EZY


Pengarang :