Selangorkini
SELANGOR

187 peneroka ditawar rumah kos sederhana RM99,000

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 DIS: Kerajaan Negeri menawarkan 187 peneroka bandar di Jalan Papan dan Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran, dekat sini, rumah kos sederhana bagi penempatan semula kumpulan berkenaan di kawasan baharu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata itu dibentangkan di dalam Mesyuarat Stanco Kehidupan Bandar Selangor pada 27 Oktober lalu dan beberapa keputusan dicapai untuk tindakan lanjut.

grafik-DNSKatanya, senarai nama penama dikemukakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dibentangkan di Mesyuarat Exco Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk makluman dan pengesahan.

“Seramai 181 penama peneroka bandar atau setinggan Jalan Papan yang wajar ditawarkan penempatan rumah kos sederhana dengan harga tawaran RM99,000 manakala tujuh penama setinggan Jalan Bukit Kerayong dipertimbangkan dengan tawaran sama.

“35 keluarga yang masih mempunyai struktur di tapak Jalan Papan dan Jalan Bukit Kerayong ditawarkan rumah kos sederhana dengan harga pasaran,” katanya ketika menjawab soalan Tan Pok Shyong (DAP-Pandamaran) di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Hian Wah (DAP-Seri Kembangan) selanjutnya berkata, senarai nama terbabit tidak akan dipamerkan semula untuk pandangan awam.

Katanya, tindakan seterusnya pemaju dikehendaki mengemukakan cadangan kepada MTES berhubung kaedah penyelesaian bersesuaian bagi menempatkan penduduk itu mengikut jumlah ditetapkan dengan menambah bilangan unit rumah daripada 123 unit kepada 223 unit.

“Pemaju perlu membina rumah kos sederhana dalam tempoh dua tahun di tapak dikhaskan di Jalan Papan mengikut pelan kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Peneroka bandar perlu diberi keutamaan ditawarkan dengan pengesahan LPHS melalui Mesyuarat Stanco Kehidupan Bandar Selangor. Segala urusan pemindahan di bawah tanggungjawab pemaju sepenuhnya” katanya.

EZY


Pengarang :