Selangorkini
NASIONAL

1MDB patut bawa kembali RM18 bilion dari Kepulauan Cayman

SHAH ALAM 23 DIS: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) patut membawa semula anggaran RM18 bilion dana yang diletakkan di Kepulauan Cayman kerana terdedah kepada transaksi turun naik mata wang yang berlaku pada masa ini.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata kadar ringgit Malaysia kini berada dalam keadaan lemah dengan penurunan mendadak dan kadar pertukaran sehingga USD1 kepada RM3.48.

1MDB“Wang 1MDB di Kepulauan Cayman telah membuat keuntungan kadar pertukaran yang ketara sejak September 2012 bersamaan RM0.41 sen atau 13%.

“Setelah buat keuntungan dengan pertukaran asing yang besar, mengapa tidak boleh 1MDB kembalikan semula wang ke Malaysia?” soalnya dalam kenyataan media.

Pada 6 November lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berjanji di Parlimen untuk mengembalikan semula wang 1MDB yang berada di Kepulauan Cayman ke Malaysia menjelang akhir tahun.

Bagaimanapun Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata wang itu akan terus kekal berada di sana.

Wong Chen berkata, pendirian Lodin Wok adalah bertentangan sama sekali dengan janji yang dibuat oleh Ahmad Maslan dan perkara ini akan menimbulkan persoalan serius mengenai 1MDB.

“Adakah wang dalam Kepulauan Cayman masih wujud atau ianya telah hilang sepenuhnya di kawasan Segitiga Bermuda yang terdekat?” soalnya lagi.

Tambahnya lagi, PKR mahu agar 1MDB segera mendedahkan dan menerbitkan akaun penuh semua wang yang berada di dalam kepulauan Cayman kini.

“Najib Razak selaku Menteri Kewangan perlu mengarahkan 1MDB untuk mengembalikan semula wang itu ke Malaysia sebelum akhir tahun” katanya.

EZY


Pengarang :