Selangorkini
SELANGOR

30,098 pengguna di Sabak Bernam alami gangguan bekalan air

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 4 DIS: Kira-kira 30,098 pengguna di Sabak Bernam mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah tidak berjadual mulai semalam, berikutan penutupan sementara sebahagian Loji Rawatan Air Bernam River Headwork.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam kenyataan media berkata kawasan terjejas melibatkan Sungai Besar, Pekan Sabak, Parit Baru, Sungai Air Tawar, Sungai Nibong, Pasir Panjang, Sungai Panjang, Sungai Haji Dorani, Sungai Lang dan Sepintas.

syabass“Penutupan sementara loji itu oleh Puncak Niaga Sdn Bhd disebabkan banjir yang berlaku di loji itu ekoran peningkatan mendadak aliran air Sungai Bernam selepas hujan lebat sejak semalam.

“Loji rawatan tersebut akan beroperasi semula selepas kerja pembaikan selesai,” kata kenyataan itu.

Sebagai alternatif bantuan mengurangkan kesulitan tersebut, lori tangki dan tangki air statik SYABAS diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk pengagihan bekalan air kecemasan.

Untuk maklumat dan perkembangan terkini mengenai gangguan bekalan air tersebut, pengguna terlibat boleh menghubungi SYABAS menerusi Pusat Panggilan di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau aplikasi mudah alih ‘mySYABAS’.


Pengarang :