Selangorkini
SELANGOR

700 dirai Hari Warga Emas, iktiraf peranan & pengorbanan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 DIS: Lebih 700 warga emas dirai dalam majlis istimewa sambutan Hari Warga Emas 2014 peringkat Selangor hari ini bertemakan ‘Budimu Kusanjungi’.

Bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di sini, majlis diserikan dengan kehadiran Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Dr. Daroyah Alwi.

B484dIICcAEeX18Daroyah berkata, peranan warga emas masih diperlukan dalam memacu pembangunan dan kesejahteraan Selangor selaku negeri termaju.

“Diharap sektor korporat dan swasta dapat sama-sama mengiktiraf, menyokong dan membantu warga emas yang memerlukan.

“Kita perlu pastikan warga emas tidak tertekan dari segi emosi, kewangan dan kesihatan dengan menyediakan kemudahan buat mereka hingga akhir hayat,” katanya.

Hadir sama dalam majlis anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor itu pengarahnya, Zuhaimi Omar.

Hari Warga Emas YB Daroyah di Dewan Jubli SUK (3)Paling menarik perhatian ialah persembahan pakaian beragam daripada warga emas yang mengambil bahagian, meliputi pakaian bermotif songket, sari, kurung melayu dan lain-lain.

Selain itu, majlis turut memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada Tokoh Anugerah Warga Emas Cemerlang, Penghargaan Penghuni Institusi Warga Emas Cemerlang, Penghargaan Sukarelawan Warga Emas Cemerlang dan Penghargaan Pusat Aktiviti Warga Emas.

Sebagai penutup, hadirin seterusnya dihiburkan artis terkenal era 90-an, Ali Terra Rossa yang turut berkesempatan beramah mesra bersama warga emas.

Para peserta dan hadirin terdiri daripada penghuni Rumah Seri Kenangan, Pengasih, Rumah Tunas Budi dan peserta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di sekitar Selangor.

Sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa diisytiharkan pada 14 Disember 1990 selaras dengan Resolusi 45/106 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Malaysia juga mengisytiharkan tarikh sama sebagai sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan mulai 1992.

EZY


Pengarang :