Selangorkini
SELANGOR

Adun: Banjir di Dengkil perlu perhatian

AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri diminta memberikan perhatian khusus mencari penyelesaian masalah banjir yang kerap berlaku setiap dua tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil.

Hal ini kerana kawasan berkenaan kini berhadapan masalah banjir yang telah melibatkan hampir 300 mangsa daripada 60 buah keluarga.

Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) berkata kejadian banjir besar pernah berlaku pada tahun 2012 melibatkan hampir 1,000 orang mangsa dan kejadian sama berluang sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, adalah lebih baik penyelesaian jangka pendek dibuat terlebih dahulu kerana tidak menelan belanja besar dan beliau sendiri telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) mengenai perkara ini.

“Kita rasa kalau boleh Kerajaan Negeri membantu untuk penyelesaian jangka pendek dan kita telah bincang dengan JPS tapi (mereka) tidak ada peruntukan yang banyak.

“Saya minta Kerajaan Negeri membantu dari segi menyelenggara kolam takungan dan sistem saliran yang ada dan tidak melibatkan belanja yang besar selain menyediakan pam kekal di kawasan kampung,” katanya.

Beliau sendiri sedia maklum berhubung penyelesaian masalah secara jangka panjang yang menelan belanja besar namun mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tahun 2012 pernah mengumumkan peruntukan untuk tebatan banjir Tanjung 12 berjumlah RM50 juta.

Menyentuh soal penyelesaian masalah banjir berskala besar antaranya adalah menaiktaraf tebatan banjir dan ban-ban yang sudah lama di Sungai Langat secara menyeluruh selain mendalamkan kawasan sungai.

Beliau turut mengucapkan terima kasih diatas bantuan tabung kecemasan yang dihulurkan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah berjumlah RM500 kepada mangsa yang berpindah dan RM250 kepada yang tidak berpindah.

Mengulas isu berkenaan, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Zaidy Abdul Talib (PAS-Taman Templer) memaklumkan, satu Jawatankuasa Khas Banjir akan ditubuhkan selepas tamat Sidan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang akan dipantau sendiri oleh Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan menyenaraikan kawasan banjir di seluruh Negeri Selangor dan mencari jalan penyelesaian bencana banjir.

“Untuk mengelakkan banjir pada tahun 2015, satu jawatankuasa pemantau banjir akan ditubuhkan dan akan menyenaraikan kawasan kejadian.

“Kita akan melihat kawasan yang perlu diutamakan untuk dinaiktaraf,” katanya.


Pengarang :