Selangorkini
SELANGOR

Adun Muda tonjol prestasi baik, tarik minat belia sertai politik

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 DIS : Penganjuran program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muda Selangor kali kedua menonjolkan prestasi memberangsangkan dengan lebih ramai golongan belia yang berpengalaman mengambil bahagian dalam sesi perbahasan kali ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, berkata program ini bukan sahaja memberi gambaran lebih jelas tentang perjalanan dalam dewan, malah peserta turut didedahkan tentang tatatertib untuk bertanya soalan dan menggunakan peraturan tetap.

Adun Muda di Dewan Annex (5)Beliau berkata meskipun hanya lima peratus daripada perjalanan sebenar dalam dewan ditonjolkan, namun ia membuka ruang kepada golongan belia untuk meneruskan karier politik sekiranya berminat.

“Kami berhasrat untuk mengajurkan program ini tiga kali setahun di mana selepas sidang dewan kita akan anjurkan bagi memberi peluang kepada golongan muda mengambil bahagian.

“Semua peserta juga akan diberi peluang untuk berjumpa dengan Dato’ Menteri Besar, malah segala perbahasan yang berlangsung di dalam dewan akan digunapakai Exco terlibat iaitu Amirudin Shari dan Nik Nazmi Nik Ahmad bagi membentuk polisi dalam pentadbiran Selangor.

“Ini adalah salah satu cara kita untuk mendengar suara anak muda dan menggunakan suara mereka bagi membentuk polisi,” katanya dalam sidang media di Dewan Annex, hari ini.

Hannah yang juga Adun Subang Jaya berkata terdapat beberapa perubahan dan penambahbaikan dalam program kali ini antaranya peserta diberi tambahan masa untuk berbahas dan membuat persediaan memandangkan ia berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Katanya peserta juga diberikan usul untuk berbahas iaitu berhubung strategi pelaksanaan Dasar Belia Selangor bagi sesi pagi, manakala sesi petang pula memfokuskan kepada Skim Pendidikan Percuma.

“Mereka juga diberi peluang untuk bertemu Adun Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) seperti Saari Sungib, Yeo Bee Yin, Haniza Talha, R.Rajiv dan Shahrum Mohd Sharif.

“Pada tahun lepas mereka diberi peluang berjumpa Ketua Pembangkang tetapi malangnya tahun ini beliau telah meletak jawatan dan kami sedang menunggu pencalonan baru.

“Ia juga sebagai jalinan bagi mereka untuk menyertai mana-mana parti politik sekiranya ingin meneruskan karier dalam bidang ini,” katanya lagi.

Untuk program kali ini, sebanyak 123 permohonan diterima daripada pelajar anak Selangor yang menuntut dari institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

EZY


Pengarang :