SELANGOR

ADUN setuju potong gaji, beza pandangan pampasan 8 bekas kakitangan MBI

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan tindakan Kerajaan Selangor mengurangkan gaji Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker yang diluluskan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

hasbullah gombak setia 16 mei 01Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS-Gombak Setia) berkata, beliau secara asas dan prinsipnya menyokong Rang Undang-Undang Elaun dan Persaraan Anggota Pentadbiran yang dikemukakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Kita kira ia sesuatu yang sesuai dan wajar kerana sebelum ini kenaikan itu mendapat pandangan dan komen negatif.

“Saya kira, tindakan yang dilakukan tepat pada masanya,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Kamarol Zaki Abdul MalikBagi Kamarol Zaki Abdul Malik (BN-Sungai Air Tawar), walaupun beliau berpandangan gaji ADUN ketika ini adalah rendah, namun tetap bersetuju dengan pemotongan gaji jawatan tertinggi Kerajaan Negeri.

“Perkara itu sudah dibincangkan sejak persidangan lalu tetapi bagi saya penurunan berkenaan sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Menyentuh soal pampasan bernilai RM2.6 juta yang diagihkan kepada lapan bekas kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Hasbullah berharap kes itu disiasat dengan sebaiknya di peringkat pentadbiran Dato’ Menteri Besar yang baru.

“Saya kira ia perlu disiasat dengan saksama dan sewajarnya kerana perkara ini amat mengejutkan pelbagai pihak berkenaan justifikasi dan ganjaran sebesar itu.

“Kita beri ruang siasatan dan jika perlu diambil tindakan, maka perlu dilakukan sewajarnya,” katanya.

Namun, pandangan berbeza dikemukakan Kamarol Zaki yang beranggapan Kerajaan Negeri kini tidak telus dan memberikan kenyataan berbeza berkenaan soal integriti dan ketelusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum krisis Menteri Besar berlaku.

-NFN-


Pengarang :