Selangorkini
NASIONAL

Banjir: Ini masa bersatu tanpa mengira fahaman politik & bangsa

SHAH ALAM 28 DIS: DAP Kebangsaan dan DAP Pahang telah bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Mentakab dan Temerloh sejak 24 Disember yang lalu.

Banjir di negeri Pahang semakin berlarutan dan terkini 33,000 mangsa terlibat dan angka dijangka meningkat ke 40,000 dalam masa terdekat.

B51gqoeCEAEjy-RAdun Mentakab dan Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berterima kasih di atas bantuan yang telah disalurkan. Beliau juga berkata keadaan banjir di Mentakab semakin teruk dan bekalan barangan keperluan dan makanan belum mencukupi.

Bot juga amat diperlukan untuk membawa bekalan kepada penduduk yang terputus hubungan disebabkan air naik.

Setiausaha Organisasi DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban, YB Anthony Loke Siew Fook turut turun padang memberi sumbangan peribadi sebanyak 100 kampit beras dan barangan keperluan yang lain.

Melihat betapa serius keadaan banjir tersebut, Loke bagi pihak DAP Pusat memperuntukkan RM10 ribu daripada Tabung Bencana Banjir secara serta-merta kepada Pusat Khidmat ADUN Mentakab untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Loke juga akan berusaha untuk mendapatkan khemah-khemah untuk diedarkan kepada pusat-pusat pemindahan supaya keluarga-keluarga yang dipindahkan ke sana mendapat sedikit keselesaan dan privasi di pusat pemindahan.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) merangkap Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong berharap pihak kerajaan mencuba sedaya upaya untuk membantu mangsa banjir dan menyeru supaya semua rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dan keprihatinan kepada saudara seMalaysia kita yang terlibat dengan bencana ini.

Dyana Sofya, Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen DAP berkata ketika ini semangat kemanusiaan itu lebih penting.

Nyawa orang ramai berada dalam keadaan bahaya dan bukan masa untuk bermain politik dan menuding jari.

“Ini adalah masalah kita bersama dan sebagai rakyat Malaysia, kita harus berganding bahu tak kira fahaman politik, agama dan bangsa, kita harus bantu mereka yang amat memerlukan melalui mana-mana saluran yang ada,” katanya.

Pemimpin-pemimpin DAP Pahang juga turut menghulur bantuan termasuk Adun Bilut, Chow Yu Hui dan Adun Ketari, Lee Chin Chen.

DAP Kebangsaan juga telah melancarkan tabung bencana beberapa hari lalu untuk membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir.

Orang ramai boleh menderma kepada “Tabung Dana Kecemasan” dengan nombor akaun Ambank: 8881002244649.

EZY


Pengarang :