Selangorkini
SELANGOR

BN tolak RM200 ribu, mahu RM700 ribu atas dasar keadilan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 1 DIS : Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Shamsuddin Lias hari ini mengulangi pendirian kesemua 12 Adun Barisan Nasional (BN) menolak pemberian RM200,000 setahun dari Kerajaan Negeri.

Katanya, tindakan itu diambil atas prinsip keadilan yang mana peruntukan sewajarnya diagihkan sama-rata kepada semua Adun di Selangor.

“Kita tolak atas dasar prinsip pendemokrasian dan kalau atas dasar keadilan, sudah tentu ia perlu diberikan sama rata.

“Kalau RM700 ribu untuk Adun Kerajaan, nilai yang sama juga harus diberikan kepada Adun Pembangkang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Dewan Annex di sini hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2015 berjumlah RM2.4 bilion mengumumkan peruntukan RM200,000 setahun itu kepada setiap ADUN BN, mulai tahun hadapan.

Mohamed Azmin berkata peruntukan berjumlah RM2.4 juta yang diberi kepada 12 ADUN BN itu adalah bagi membolehkan mereka melaksanakan program mesra rakyat, selain memastikan semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik dapat bersama-sama berkhidmat kepada rakyat.

Bagaimanapun, peruntukan bagi Adun Pakatan Rakyat untuk tujuan program mesra rakyat ditambah RM100,000, menjadikannya RM700,000 setahun.

Bagaimanapun, Shamsudin ketika membahaskan belanjawan itu menegur langkah kerajaan Selangor yang kononnya membentangkan bajet berimbang setiap tahun, namun pada akhirnya memohon belanjawan tambahan pada sidang dewan seterusnya.

“Beri kesemua RM700 kepada Penyelaras DUN dan biar mereka yang belanjakan untuk program rakyat. Biarpun (sebelum ini) kita tidak dapat peruntukan dari Pakatan Rakyat, kita masih mampu berkhidmat untuk rakyat,” kata Adun Sungai Burong itu lagi.

Ditanya pemberita sama ada Adun Pembangkang Selangor menerima peruntukan khas dari Kerajaan Pusat untuk program rakyat, Shamsudin menjawab pihaknya tidak meminta dan terpulang kepada Kerajaan Pusat.

“Itu terpulang kepada Kerajaan Pusat, kita tidak meminta.

“Walaubagaimana pun Kerajaan Pusat telah beri banyak bantuan kepada rakyat seperti rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) dan BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia),” katanya.


Pengarang :