Selangorkini
SELANGOR

Datum Jelatek dijangka memangkin pertumbuhan ekonomi warga Keramat

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Pembangunan integrasi Datum Jelatek yang menggabungkan kediaman, komersial, pejabat dan komponen runcit dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Keramat yang akan memanfaatkan penduduk setempat.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) DatumCorp International Sdn Bhd (DatumCorp), Shytul Shahryn Shaari, pulangan daripada Datum Jelatek akan digunakan untuk membiayai projek perumahan mampu milik (RMM) di serata Selangor.

datumjelatek02

“PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) memegang teguh dasar keuntungan 1 unit Rumah Kos Tinggi dapat membiayai 10 unit RMM,” katanya.

Selain itu, komponen beli-belah dijangka memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk.

“Pusat membeli belah iaitu sebahagian dari pembangunan ini adalah aset yang dimiliki Kumpulan PKNS bagi memastikan pembangunan ini memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada golongan Bumiputera serta penduduk setempat,” katanya.

Datum Jelatek merupakan satu daripada siri Datum dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencapai RM8.8 bilion yang akan disusuli projek Datum InCity (GDV RM3 bilion), Datum Sports City (GDV RM1.8 bilion), Datum SACC (GDV RM2.5 bilion), Datum Regalia (GDV RM600 juta), Datum EduCity (GDV RM540 juta) dan Datum Bangi (GDV RM350 juta).

Dari kenyataan media yang diterima pihak kami, Siri pembangunan Datum ini akan turut membiayai pembangunan berperingkat sebanyak RM11,000 unit RMM yang menelan subsidi RM1.1 bilion sehingga 2020, subsidi RM800 juta untuk membina 1,422 unit RMM di Bukit Botak di Selayang, subsidi RM4.2 juta untuk membina 129 unit rumah berkembar satu setengah tingkat di Antara Gapi di Hulu Selangor, dan jika dipersetujui penduduk akan menaik taraf unit Flat Lama AU3.

datumjelatek01

Bagi Datum Jelatek sahaja, 50 peratus dari unitnya dikhususkan kepada pembeli Bumiputera beserta dengan diskaun 10 peratus. Shytal berkata PKNS yakin pembeli Bumiputera yang selama ini merupakan pembeli terbesar projek-projek PKNS akan tertarik dengan potensi Datum Jelatek sebagai kediaman ideal.

“Penjualan semua unit kediaman juga akan dijalankan DatumCorp dan agen-agen hartanah yang dilantik,” jelasnya.

Mengulas kebimbangan sekitar kerja-kerja naiktaraf jalan, Shytul berkata kerja-kerja naiktaraf Jalan Enggang dan Jalan Jelatek tidak melibatkan perobohan mana-mana kediaman. Menurutnya, kerja naiktaraf hanya membabitkan tanah rezab yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Laporan ‘Traffic Impact Assessment’ (TIA) oleh Halcrow Consultants Sdn Bhd pada Oktober 2010 dan Penilaian Kesan Sosial oleh SA Planning Services pada April 2011 mendapati ia adalah memuaskan dan tiada halangan untuk pembangunan Datum Jelatek.

Shytul turut menafikan dakwaan sebuah ‘sky bar’ akan dibangunkan di situ. Beliau berkata yang akan dibina adalah ‘Sky Garden Ring Bridge’ yang akan menghubungkan empat menara Datum Jelatek yang turut dilengkapi taman tergantung, restoran dan dek pemandangan.

Dengan pembinaan projek mercu tanda ini, Shytul menjangkakan nilai hartanah kawasan sekitar akan naik, dan disusuli dengan pembangunan semula lokasi-lokasi usang di Keramat.


Pengarang :