Selangorkini
SELANGOR

Datum Jelatek: Tidak semua penduduk mahu ‘bermandi darah’

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Pembangunan Datum Jelatek akan disokong rakyat sekiranya usaha terbabit mendatangkan impak positif dan kemajuan kepada negeri serta rakyat.

Penduduk, Ismail Ibrahim, 52, berkata sekiranya pembangunan menambahbaik dan mensejahterakan penduduk maka beliau berkeyakinan tiada masalah akan timbul dengan warga Keramat.

jelatek1“Sewajarnya pembangunan itu dijalankan kerana ia membawa banyak kebaikan kepada kawasan persekitaran dan juga penduduk. Dengan pembangunan dibuat ini akan menjadikan kawasan ini sebagai ‘bandar dalam bandar’,” katanya yang menetap di Taman Keramat lebih 40 tahun.

Beliau berkata, semenangnya pada dasarnya sejak sekian lama PKNS mahu membangunkan kawasan itu tetapi mungkin ianya terbantut kerana masalah ekonomi atau tiada kaedah yang sesuai pada masa dahulu.

“Soal ada pihak tertentu yang tidak senang dengan projek ini, dalam beberapa hal semua pihak mempunyai pandangan masing-masing tetapi ia mesti berpandu kepada fakta dan lunas undang-undang,” katanya.

Bahak Udin Mohd Bakri, 75, berkata projek Datum Jelatek perlu memberi kelebihan kepada masyarakat Bumiputera memiliki hartanah selain peluang menaikkan taraf hidup melalui aktiviti ekonomi.

jelatek2“Kena beri peluang lebih kepada Bumiputera untuk memiliki aset dan mendiami kawasan bandar. Pemaju kena melihat perkara ini. Dengan cara ini masyarakat Bumiputera akan meningkat maju. Bukan menolak masyarakat bukan Bumiputera kerana kita semua perlu mendapat hak yang sama.

“Secara peribadi saya sangat setuju dengan pembangunan seandainya ia difikirkan membawa manfaat kepada rakyat negara ini tetapi dengan syarat apa dimiliki penduduk sekitar tidak diganggu gugat oleh pembangunan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, setiap pembangunan yang berlaku bakal memberi kesan dan Datum Jelatek akan membuka ruang lebih kepada aktiviti ekonomi dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Bagi, Abdul Halim Shamsuddin, 43, projek Datum Jelatek memberi banyak kemudahan kepada orang ramai dengan pusat perniagaan yang disediakan.

jelatek3“Masyarakat akan mendapat faedah kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan segala kemudahan kerana semua akan tersedia di sini.

“Mungkin ada yang tidak mampu memilikinya tetapi ada perkara lain yang boleh dikongsi di sini. Pemaju juga sudah memberi jaminan bahawa Bumiputera akan diutamakan untuk memiliki aset maka saya rasa patut projek ini diteruskan,” katanya.


Pengarang :