Selangorkini
SELANGOR

DNS: Rakyat puas hati, harap penambahbaikan masa depan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 DIS: Rakyat Selangor berpuas hati dengan persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang diadakan secara langsung dengan penuh keterbukaaan untuk tatapan umum.

Sidang DNS disiarkan secara langsung melalui http://tv.selangorku.com/ bertempat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 24 November hingga 4 Disember lalu.

zulkiflihussinPeniaga, Zulkifli Hussin, 40, dari Hulu Langat, berkata pembaharuan dipraktikkan itu cukup bagus bagi memberi peluang kepada rakyat mengikuti perkembangan semasa dan segala perjalanan serta perancangan dilakukan Kerajaan Negeri untuk kebaikan semua.

“Kita hidup dalam dunia moden dengan pelbagai kemudahan termasuk internet dan hebahan berita portal serta media sosial.

“Saya tahu berkenaan sidang DNS juga melalui media sosial Facebook dan media Kerajaan Negeri, Selangor Kini,” katanya.

Haron Abdul Ghani, 59, dari Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam, berkata sidang DNS kini lebih baik apabila rakyat berpeluang mengikutinya secara terus dan melihat wakil rakyat baik dari kerajaan atau pembangkang mejalankan tugas mereka.

haronabdul“Sidang DNS kali ini dinantikan rakyat kerana Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan untuk tahun depan. Memang kita bertuah kerana boleh dapatkan maklumat dengan mudah melalui pelbagai saluran media terutama di internet selain media Kerajaan Negeri.

“Keterbukaan dan ketelusan kerajaan bagus dan pembaharuan begini diinginkan rakyat kerana masyarakat hari ini celik ilmu dan ramai berpendidikan tinggi,” katanya.

Nordin Shaari Mohd Razali, 49, dari Klang, pula berkata keterbukaan Kerajaan Negeri termasuk memberi ruang kepada pembangkang mendapat publisiti melalui Selangor Kini amat bagus dan wajar dipuji.

nordinshaari“Usaha yang patut kita puji dan dicontohi pihak lain. Pelantikan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan (PAC) juga baik dan sejarahbaru yang dibuat DNS.

“Sidang DNS sudah banyak berubah melalui perubahan pentadbiran Kerajaan Negeri. Masyarakat mahu penambahbaikan seperti ini dalam pentadbiran demi kemajuan negeri dan rakyat.

“Perbahasan dijalankan juga bertambah baik di kalangan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang,” katanya.

-NFN-


Pengarang :