SELANGOR

I-City dilengkapi Hotel Hilton menjelang 2018

SHAH ALAM, 10 DIS (Bernama): Kawasan pegangan bebas berkeluasan 29.14 hektar, i-City, di sini, akan dilengkapi hotel empat bintang pertamanya, Hotel Hilton, yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM200 juta menjelang 2018.

Timbalan Pengerusi I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew berkata projek kerjasama antara anak syarikat milik penuh I-Bhd iaitu I-R&D Sdn Bhd dan pihak Hilton Worldwide Manage Ltd, adalah sebahagian daripada portfolio pelaburan I-Bhd bernilai RM1 bilion.

Hotel 300 bilik yang diuruskan Hilton Worldwide, akan menyediakan perkhidmatan kepada komuniti perniagaan dan pengunjung taman tema seluas 10.1 hektar itu selain melengkapi kewujudan hotel Best Western i-City Shah Alam yang sedia ada.

Malah, kata Eu, ada perancangan untuk pembinaan hotel ketiga menjelang 2020.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis menandantangani perjanjian persefahaman antara I-R&D dan Hilton Worldwide Manage bagi pembangunan hotel itu di sini, hari ini.

I-R&D Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Tey Siew Thuan manakala Pengarah Pembangunan Asia, Alex Dadak, mewakili Hilton.

Eu berkata, I-Bhd turut menyasarkan kadar penginapan Hotel Best Western itu sebanyak 70-80 peratus menjelang tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata cadangan pelaksanaan korporat I-Bhd baru-baru ini turut menghasilkan kira-kira RM800 juta untuk pembiayaan projek pembangunannya bagi tempoh lima tahun akan datang.

Syarikat itu telah melabur RM70 juta dalam tarikan taman tema itu selain merancang pelaburan RM30 juta bagi tempoh lima tahun lagi.


Pengarang :