Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

IKRAM: Malaysia patut guna kedudukan ahli Majlis Keselamatan PBB selamatkan Dr Yusuf Al-Qaradawi

Oleh: Hasanuddin Mohd Yunus

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius dan mengutuk tindakan kerajaan Mesir meminta Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah atau waran tangkap ke atas Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi atas tuduhan bersubahat, menghasut dan membantu untuk melakukan pembunuhan dengan sengaja, membantu banduan melarikan diri, membakar, vandalisme dan kecurian.

IKRAM berpendapat bahawa waran tangkap ini adalah tindak balas kepada bantahan berteruan beliau terhadap rampasan kuasa yang dilakukan oleh Jeneral Abdul Fattah As-Sisi ke atas Presiden Mesir yang sah dan terpilih secara demokratik, Dr Mohamed Morsi pada awal Julai 2013.

al-QaradawiIKRAM berpendapat bahawa tindakan ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar kerana Dr Al-Qaradhawi adalah seorang ulama kontemporari yang moderat serta sangat konsisten dalam mempertahankan keadilan dan hak asasi manusia.

Beliau yang pernah dinobatkan oleh kerajaan Malaysia sebagai Tokoh Maal Hijrah 2009 sentiasa menyeru kepada pendekatan berdialog, berdiskusi dan berwacana selain sentiasa menegah masyarakat Muslim seluruh dunia dari sebarang tindakan subversif dan ekstremisme.

Beliau juga pernah mendapat tempat ketiga dalam satu undian berkenaan 100 intelek tersohor dunia pada tahun 2008 yang dikendalikan oleh Prospect Magazine (UK) dan Foreign Policy (US).

Hasil undian ini menunjukkan beliau dikagumi oleh barat berdasarkan tahap keintelektualannya dan pendiriannya yang moderat.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam reaksi beliau terhadap waran tangkap tersebut telah menafikan pembabitan beliau malah mempersoalkan bagaimana beliau boleh terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah sedangkan beliau memegang kerakyatan Qatar dan tidak pernah meninggalkan Qatar dalam tempoh tersebut.

IKRAM menggesa kerajaan Malaysia bersikap tegas dan mengambil tindakan segera dengan menggunakan kedudukan Malaysia selaku ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pengaruh dalam Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) supaya mendesak kerajaan Mesir untuk menarik balik dakwaan terhadap tokoh dunia Islam itu.

IKRAM meminta agar Interpol menarik balik waran tangkap ke atas Dr Yusuf Al-Qaradhawi kerana pertuduhan ke atas beliau adalah tidak munasabah sama sekali.

IKRAM juga merayu kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk bermunajat mendoakan keselamatan dan kesihatan tokoh ulama besar tersebut.

* Hasanuddin Mohd Yunus adalah Timbalan Presiden IKRAM dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa


Pengarang :