Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Indeks rasuah naik 3 tangga bukan bermakna Putrajaya berjaya banteras rasuah

Oleh: Rafizi Ramli

Saya mengalu-alukan pencapaian lebih baik Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2014 yang diumumkan Transparency International semalam.

Kedudukan Malaysia yang naik 3 anak tangga di kedudukan 50 dari 175 negara adalah perkembangan yang baik.

rafizi-TI-01Pun begitu, saya merasa agak lucu melihatkan bagaimana pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mendabik dada kononnya kedudukan yang menokok naik itu bermakna berkesannya langkah-langkah Putrajaya mencegah Putrajaya.

Saya menasihatkan semua rakyat Malaysia memahami laporan seperti yang dihuraikan oleh Dato’ Akhbar Satar, Presiden TI-M semasa membentangkan Indeks Persepsi Rasuah 2014 semalam.

Beliau menerangkan bahawa Indeks Persepsi Rasuah bukan sahaja mengukur keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dalam membanteras rasuah, tetapi juga keberkesanan peranan yang dimainkan semua pihak termasuk media dan aktivis dalam menyiasat dan mendedahkan perlakuan rasuah.

Oleh itu, pertambahan dua mata yang menaikkan kedudukan 3 tangga itu bukanlah bermakna Putrajaya telah melakukan reformasi yang berkesan dalam membanteras rasuah. Ia juga tidak bermakna rasuah telah berkurangan di negara ini.

Ia hanya bermakna bahawa masyarakat lebih maklum tentang rasuah dan mempamerkan peningkatan kesedaran tentang usaha membanteras rasuah.

Oleh itu, jika ada pihak yang perlu mendapat pujian, sewajarnya 2 kumpulan berikut berhak disebut:

1. Kepimpinan SPRM sejak Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang lebih bersifat terbuka dan menghabiskan banyak masa mendengar pandangan umum untuk menambahbaik SPRM. Di bawah kepimpinan beliau, SPRM juga menjalankan banyak program untuk mendekati rakyat dan mendidik rakyat mengenai rasuah.

2. Rakyat Malaysia termasuk media dan aktivis yang tidak jemu-jemu menyokong usaha membanteras rasuah yang ditunjukkan melalui dokongan terbuka di portal berita dan media sosial kepada pendedahan skandal rasuah dan lain-lain.

Pun begitu, saya bimbang jika tumpuan oleh SPRM dan Putrajaya hanyalah kepada usaha-usaha public relations dan kempen awam mengenai rasuah tanpa diikuti dengan tangkapan dan dakwaan melibatkan skandal besar rasuah negara, lama-kelamaan rakyat akan mula hilang keyakinan kepada kredibiliti Indeks Persepsi Rasuah itu sendiri.

Keadaan ini telah berlaku kepada angka-angka rasmi bersabit ekonomi negara apabila wujud perbezaan ketara di antara statistik rasmi yang dikeluarkan kerajaan dengan realiti ekonomi rakyat; hinggalah angka-angka ekonomi tidak mempunyai makna besar kepada rakyat.

Sejak 2010 usaha-usaha mendekati rakyat melalui kempen awam rasuah dan pendedahan skandal yang berterusan telah berjaya meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Usaha-usaha sebegini ada hadnya dan tidak mungkin akan dapat melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga lebih atas dari kedudukan 30 tanpa penangkapan dan pendakwaan melibatkan skandal-skandal besar negara.

Malah, jika tiada penangkapan dan pendakwaan kes-kes berprofail tinggi, saya percaya lama-kelamaan kredibiliti Indeks Persepsi Rasuah sendiri akan luntur di mata rakyat.

*RAFIZI RAMLI adalah Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan


Pengarang :