Selangorkini
NASIONAL

Keganasan bola sepak, ambil tindakan tegas elak kejadian berulang

SHAH ALAM 8 DIS: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengutuk keras keganasan yang ditunjukkan segelintir penyokong Malaysia apabila tumpas 2-1 kepada Vietnam.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat demi keharmonian sukan di Malaysia.

gaduhKatanya, kekalahan dalam separuh akhir semalam di laman sendiri sudah pasti mengecewakan seluruh rakyat Malaysia, namun kepercayaan kepada Harimau Malaya untuk 90 minit di Hanoi nanti tidak akan sesekali luntur.

“Namun, suasana yang harmoni itu telah dicemari oleh beberapa insiden yang agak memalukan penyokong bola sepak Malaysia dan nama Malaysia sendiri,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau berkata insiden pergaduhan di dalam stadium di kalangan penyokong adalah sesuatu tidak wajar dan tidak patut sama sekali terjadi terutamanya apabila kita sebagai tuan rumah kepada lawan dari negara luar.

Tambahnya, biar apa pun alasan diberikan mereka mencetuskan pergaduhan itu, tindakan membaling botol dan menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima sama sekali.

Nik Nazmi berkata, jelas sekali insiden itu memberi pandangan dan tanggapan negatif penyokong Vietnam dan seluruh peminat bola sepak dari luar negara.

“Hanya kerana sejumlah kecil penyokong Malaysia yang bertindak ganas dan berkelakuan seperti itu, seluruh penyokong Malaysia telah terheret sama,” katanya.

Perlawanan pusingan ke-2 akan berlangsung pada hari Khamis ini, di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi jam 9 malam waktu Malaysia.

EZY


Pengarang :