Selangorkini
SELANGOR

KeTTHA puji komitmen MPSJ teroka LCCF

Oleh : NAEEM RAFFI

SUBANG JAYA, 18 DIS : Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA) memuji komitmen berterusan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadikan wilayah seliaannya “Bandar Hijau” menerusi program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).

Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh berkata pihaknya akan membantu MPSJ meneroka peluang menjana pendapatan dari pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Kami kagum dengan pencapaian MPSJ dalam inisiatif meningkatkan mutu kehidupan masyarakat melalui kelestarian kediaman, kemampanan bandar serta penggunaan sumber tenaga berkesan.

KeTTHA - MPSJ

“KeTTHA menerusi Malaysia Green Technology Corporation akan sediakan ‘business model’ untuk LCCF ini kearah menjana pendapatan yang boleh diraih MPSJ,” katanya kepada pemberita dalam program Lawatan Kerja KeTTHA ke Pusat Biomass Bersepadu MPSJ, di Bukit Puchong, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua (YDP) MPS, Abdullah Marjunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Green Technology Corporation (Green Tech), Ir Ahmad Hadri Haris.

Lawatan Kerja Kettha hari ini bertujuan meninjau perkembangan projek LCCF yang dibangunkan MPSJ setelah pihak berkuasa tempatan itu terpilih menjayakan projek perintis ‘Sustainable Living Stakeholder Engagement anjuran Green Tech.

LCCF merupakan rancangan yang terkandung dalam dokumen perancangan strategik pelan jangka panjang Pembangunan Bandar Hijau MPSJ 2030 yang akan menukar Subang Jaya menjadi bandar rendah karbon dengan persekitaran hidup yang sihat.

Manakala, Pusat Biomass Bersepadu MPSJ pula ditubuhkan bagi menyokong usaha LCCF dalam pengurusan sisa buangan seperti makanan atau organik sekaligus menangani impak kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan sejagat.

HARJEET SINGH - KeTTHA“Walaupun Pusat Biomass MPSJ ini tidak dibuat secara mega seperti di negara-negara maju eropah, tapi bagi KeTTHA, kewujudannya suatu yang amat bermakna memandangkan negara ini menghasilkan 60 peratus bahan buangan dari bio-organik, inisiatif yang dimulakan oleh MPSJ wajar dipuji.

“Konsepnya mudah, inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan sisa buangan, malah menghasilkan produk yang berguna seperti baja kompos menerusi kitar semula,” kata Harjit.

Pembangunan Bandar Hijau MPSJ akan memberi tumpuan kepada tiga aspek iaitu kemampanan kawasan kejiranan, pengurusan sumber tenaga yang cekap dan meningkatkan ekonomi tempatan.

MODEL BIOMASS MPSJ

Melalui pelaksanaan projek ini, MPSJ bakal distruktur ke aras bandar mampan dan menjadi bandar hijau sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Selain MPSJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Melaka dan Iskandar Malaysia, Johor turut terpilih menjayakan projek itu.


Pengarang :