Selangorkini
SELANGOR

Laporan Selcat penggunaan air lombong siap & diluluskan DNS

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 DIS: Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung penggunaan air lombong sudah disiapkan dan diluluskan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pengerusinya, Hannah Yeoh berkata, pendengaran berhubung perkara itu sebelum ini dilakukan secara tertutup bagi membincangkan perkiraan logik berkenaan dan bukan mahu menyembunyikan maklumat daripada orang ramai.

“Kita ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa laporan terhadap siasatan penggunaan air lombong ketika musim kemarau beberapa bulan lalu sudah siap dan dibentangkan dalam sidang DNS.

Selcat“Ia sudah dibahas dan diluluskan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Hannah berkata, Selcat sudah memanggil beberapa saksi iaitu ahli akademik bagi menyiapkan laporan itu yang ditulis Prof Datuk Dr Mohd Jamil Maah dan Dr Muhammad Aqeel Ashraf, Kerajaan Negeri, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mempertikaikan penggunaannya.

“Secara amnya, ahli akademik menyatakan memang air lombong mempunyai kandungan logam tetapi apabila bercampur dan dicairkan dengan air sungai serta dirawat, maka ia selamat digunakan.

“Selama ini, air lombong secara semula jadinya tetap mengalir ke dalam sungai apabila hujan lebat tanpa sebarang usaha pengepaman,” katanya.

HannahBeliau berkata, Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan turut mengesahkan bahawa sebelum air dilepaskan dari loji rawatan kepada pengguna, Jabatan Kesihatan akan mengesahkan air terbabit selamat digunakan.

“Isu hangat di dalam dewan tadi adalah berkenaan hak kerana pentadbiran dahulu mengumumkan RM10 juta untuk pembelian pam air. Ketika kita membuat penilaian ini, pam masih belum sampai. Sekarang ia baru sampai.

“RM10 juta ini juga bukan khas untuk pam tetapi untuk pembenihan awam dan yang lain. Kita tidak gembira dengan hal ini. Yang kita nampak, ia adalah isu serius didedahkan kerajaan kepada pihak awam,” katanya.

ADUN Permatang, Sulaiman Razak yang juga salah seorang ahli jawatankuasa Selcat berkata, antara dibincangkan adalah usaha bersama bagi memelihara sungai dan meminta Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bagi tujuan berkenaan.

“Masalah kita sekarang adalah air sungai tercemar. Kita perlu menyediakan peruntukan supaya pemeliharaan sungai berada pada tahap kelas tiga, bukan tahap kelas empat atau lima yang teruk tercemar.

“Hal ini supaya proses pembersihan di loji rawatan tidak memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

-NFN-


Pengarang :