Selangorkini
SELANGOR

LZS serah RM845,660 bantuan persekolahan kepada 1,006 warga Petaling

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 10 DIS : Seramai 1,006 keluarga asnaf dan fakir miskin di daerah Petaling menerima agihan bantuan pendidikan untuk anak-anak mereka bagi sesi persekolahan tahun 2015.

Bantuan keseluruhan berjumlah RM845,660 daripada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu berupa pembiayaan yuran persekolahan, termasuk peralatan dan pakaian sekolah.

zakat 3

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, berkata program kali keempat itu bertujuan meringankan bebanan ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak bermula dari peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah.

Katanya setiap anak asnaf yang bersekolah rendah kebangsaan dan agama masing-masing menerima bantuan sebanyak RM150 untuk yuran sekolah, manakalah sekolah menengah kebangsaan dan agama pula menerima sumbangan RM250.

“Manakala bagi anak asnaf di peringkat pra sekolah pula akan menerima bantuan berjumlah RM100 setiap seorang.

“Setakat ini lebih 44,000 keluarga asnaf fakir dan miskin sudah menerima bantuan pendidikan daripada LZS berjumlah RM15 juta.

zakat 2

“Harapan kami dengan adanya bantuan ini dapatlah mereka belajar dengan baik seterusnya melahirkan generasi cemerlang dan tidak lagi mewarisi kemiskinan ibu bapa mereka,” katanya selepas menghadiri program itu di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan dekat sini.

Selain itu, ktanya setiap mereka turut menerima bantuan pakaian dan peralatan sekolah bernilai antara RM170 hingga RM200 yang diberi dalam bentuk baucar untuk ditukar di pasaraya terpilih.

Berdasarkan agihan zakat itu, setiap keluarga dianggarkan akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan sehingga maksimum RM2,000 bagi setiap keluarga.

“Apabila kita keluarkan zakat, inilah salah satu (bantuan) yang diagihkan LZS sebagai pemengang amanah kepada fakir miskin.

“Kepada sesiapa yang belum melunaskan zakat, kita minta mereka tampil membayarnya sebelum akhir Disember bagi membolehkan wang ini digunakan untuk anak-anak asnaf memulakan persekolahan,” katanya lagi.


Pengarang :