Selangorkini
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri tunggu laporan MBI kes RM2.8 juta

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Negeri menunggu laporan penuh pengurusan Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bagi menentukan tindakan seterusnya isu pembayaran gratuiti RM2.8 juta kepada lapan pembantu mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata isu itu kini diberi pertimbangan pengurusan baru MBI dan Kerajaan Negeri akan melihat perkembangan isu berkenaan.

MBI“Saya akan lihat dulu apa dikemukakan pengurusan baru MBI dan menentukan bentuk tindakan yang akan diambil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, pengurusan MBI sedang meneliti isu itu daripada segala aspek sebelum ianya diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

“Dimaklumkan beberapa maklum balas disiapkan dan akan dibentangkan kepada saya untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menjangkakan perkara itu akan berlaku minggu ini berikutan jadual padat menghadapi sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dan sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Pembayaran itu didakwa dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar berkuatkuasa pada 23 September lalu.

EZY


Pengarang :