Selangorkini
SELANGOR

MB: Komposisi anggota PAC kekal, BN patut main peranan pembangkang berkesan

SHAH ALAM 22 DIS: Komposisi anggota Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan (PAC) Selangor kekal biarpun pembangkang di negeri ini mahu perubahan mengikut kehendak mereka.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata desakan Barisan Nasional (BN) untuk mengubah komposisi dalam PAC tidak akan berlaku kerana Selangor sebuah negeri demokratik.

DNS wide 01“Itu pendirian negeri demokratik yang amalkan demokrasi. Kita mahu demokrasi dalam negeri dan juga dalam dewan itu disuburkan.

“Maka peranan ketua pembangkang kita iktiraf dan sebab itu, kita berikan semua kemudahan yang selayaknya kepada ketua pembangkang termasuk kenderaan, elaun, pemandu, dan juga kemudahan lain kepada semua Adun pembangkang,” katanya ketika ditemui media selepas pertandingan Grand Slam GP Selangor 2014, semalam.

Komposisi PAC merangkumi lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) dan dua dari BN.

Mohamed Azmin berkata, Umno sepatutnya mengambil peluang itu membuktikan sebagai pembangkang berkesan dalam memastikan Selangor mengamalkan dasar polisi demokrasi dalam pentadbirannya.

“Komposisi itu salah satu jawatankuasa yang dimainkan PAC dan kedudukan ketua pembangkang sebagai pengerusi sudah tentu mempunyai peranan yang cukup besar untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang lain.

“Kita ada beberapa jawatankuasa dewan yang lain seperti Selcat dan jawatankuasa pilihan lain yang dianggotai pembangkang, jadi peranan itu mestilah dibuktikan terlebih dahulu,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

Kerusi Pembangkang Dewan Negeri Selangor kosong berikutan peletakan jawatan Datuk Mohd Shamsuddin Lias pada 8 Disember lalu selepas menolak jawatan sebagai pengerusi PAC negeri.

EZY


Pengarang :