Selangorkini
SELANGOR

MB Pahang rakam penghargaan sumbangan banjir Kerajaan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUANTAN, 31 DIS: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan tunai RM100,000 daripada Kerajaan Selangor bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diberitahu Adnan sendiri melalui satu panggilan telefon, semalam.

“Pertemuan dengan Menteri Besar Pahang terpaksa diwakilkan Exco Kanan Kerajaan Negeri kerana Datuk Seri Adnan menghubungi saya memaklumkan kakak iparnya, meninggal dunia dan beliau terpaksa menguruskan jenazah untuk dibawa balik ke Bentong bagi majlis pengkebumian.

pahang“Bagaimanapun, Datuk Seri Adnan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana sumbangan itu dan beliau menghantar Exco Kanan, Datuk Shafik Fauzan Sharif untuk menerima bantuan sumbangan bagi pihak Kerajaan Pahang sebentar tadi,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah sebelum berlepas pulang ke Selangor, semalam.

Mohamed Azmin berkata, selain berterima kasih atas bantuan wang tunai, Kerajaan Pahang juga menyambut baik usaha Selangor untuk membantu kerja pemulihan dalam fasa kedua nanti.

“Kerajaan Pahang menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang bukan sahaja sekadar memberi memberikan sumbangan RM100,000, bahkan mereka gembira dengan komitmen Selangor untuk sekali lagi turun ke Pahang sebaik sahaja air turun untuk membantu mangsa banjir membersihkan kediaman dan perumahan mereka.

“Saya memberi jaminan kita akan membantu khususnya di kawasan terkesan termasuk Indera Mahkota, Kuantan dan Temerloh,” katanya.

banjirMohamed Azmin dalam lawatan sehari ke Pahang turut berkesempatan melawat beberapa kawasan banjir di negeri itu termasuk Kampung Cenderawasih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Mahkota.

Mohamed Azmin diiringi Exco Kerajaan Negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Zaidy Abdul Talib, Amiruddin Saari dan Ean Yong Hian Wah juga menyampaikan bantuan makanan asas yang dikelolakan Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) bagi pihak Kerajaan Selangor kepada mangsa di kampung terbabit.

Dalam siri lawatan sama, Mohamed Azmin terlebih dahulu melawat mangsa banjir di Terengganu dan bertemu Menteri Besarnya bagi menyampaikan bantuan banjir berjumlah RM100,000.

-NFN-


Pengarang :