SELANGOR

MB: Penjawat awam muda perlu lebih timba pengalaman

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 20 DIS: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyarankan penjawat awam muda supaya menimba ilmu bersama penjawat awam yang lebih berpengalaman supaya dapat berkhidmat lebih cemerlang.

Menurutnya, pengalaman yang mereka perolehi hasil perkhidmatan lebih daripada 30 tahun disamping berkhidmat di beberapa negeri lain dapat dimanfaatkan untuk terus mambangunkan Selangor.

makanmalam 3Selain itu, beliau mengharapkan penjawat awam yang bersara supaya dapat memberikan sumbangan pengalaman dan terus menjalinkan hubungan baik bersama Kerajaan Negeri.

“Saya mengharapkan mereka yang bersara, jangan putus hubungan dengan Kerajaan Negeri.

“Dengan pengalaman selama berkhidmat dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat merupakan nilai dan aset yang penting untuk dikongsikan dengan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya pegawai muda ini harus belajar dan menimba ilmu dengan pegawai-pegawai yang telah bersara.

“Dengan pengalaman inilah akan membantu Kerajaan Negeri membangunkan negeri ini,” katanya di Holiday Villa Subang Hotel & Suites semalam.

Jelasnya lagi, penjawat awam perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi 2015 untuk memastikan Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar Keuntungan Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang setakat ini berjumlah 23.7 peratus.

“Antara langkah perlu diambil dengan perubahan persekitaran yang begitu pantas ialah pimpinan dan penjawat awam perlu bekerja dengan lebih kuat, berinovasi bagi menghadapi cabaran ini,” katanya lagi.

Menyentuh soal kebajikan Mohamed Azmin memaklumkan beliau bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi membincangkan beberapa perkara termasuk soal perumahan anggota penjawat awam.

Dalam perbincangan tersebut, KSN memohon beberapa tapak untuk pembinaan rumah yang mampu dimiliki anggota perkhidmatan awam yang baru mendapat pekerjaan dan mendirikan rumah tangga.

“Saya memberikan jaminan kepada KSN, Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama untuk menyediakan tapak membina rumah mampu dimiliki anggota penjawat awam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemaju perumahan di Selangor supaya memberikan perhatian kepada pembinaan rumah mampu milik sekitar harga RM110,000 hingga RM220,000.

Sebelum itu, perkara sama turut dibangkitkan oleh Datuk Tarmedi Omar dalam ucapan
wakil pegawai kanan yang bersara dan bertukar Tahun 2014.

Majlis Malam Mesra Sekalung Budi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2014 menyaksikan seramai 25 pegawai penjawat awam diraikan yang terdiri daripada mereka yang bersara dan ditukarkan ke negeri lain.

Secara keseluruhan, terdapat 21,000 orang penjawat awam di Selangor.

EZY


Pengarang :