Selangorkini
SELANGOR

MB: RM 1.2 juta dalamkan muara Sg Parit 3, bantu nelayan

Oleh : NAEEM RAFFI

KUALA SELANGOR, 20 DIS: Kerajaan Negeri bersetuju memberi kelulusan segera sebanyak RM1.2 juta bagi kerja mendalamkan muara Sungai Parit 3, Sungai Burong di sini.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata keputusan itu diambil bagi membantu kumpulan nelayan di kawasan itu yang sekian lama berdepan kesukaran untuk keluar ke laut.

Program MB turun padang ke Kuala Selangor (4)“Setelah berbincang dengan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Selangor, kita mengambil keputusan untuk menghulurkan bantuan segera bernilai RM1.2 juta menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Kita melihat masalah ini cukup mendesak dan JPS memberi jaminan kerja mendalamkan muara dimulakan segera,” katanya.

Beliau berkata kerja mendalamkan dasar sungai yang tertimbus pasir itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh sembilan bulan seperti yang dijanjikan JPS.

Beliau berkata demikian ketika turun melawat muara Sungai Parit 3 dalam sesi turun padang ke daerah Kuala Selangor, di sini, semalam.

Hadir sama, YDP Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias.

“Kita harus berbincang dengan semua pihak dan saya berjanji dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) 24 November lalu bahawa saya tidak mengira sama ada wakil rakyat itu dari parti mana kerana sebagai Menteri Besar saya bertanggungjawab penuh menjaga semua kepentingan rakyat tanpa mengira ideologi politik,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan nelayan di situ terpaksa menanggung kerugian kerosakan enjin sampan (kipas) yang bernilai ratusan ringgit setiap kali sampan tersangkut dalam timbunan pasir di dasar muara.

Lebih beri tekanan, timbunan pasir yang menyebabkan air sungai menjadi cetek memaksa nelayan menolak sampan ke jeti.

Kepayahan semakin berganda apabila waktu mencari ikan terpaksa diawalkan hampir dua jam semata-mata tidak mahu sampan terkandas di tengah sungai bergantung pada pasang surut air.

Ekoran keadaan itu, pendapatan harian nelayan turut terjejas.

EZY

 


Pengarang :