Selangorkini
SELANGOR

MB: RM679.71 juta peruntukan diterima, pastikan sampai kumpulan sasar

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 DIS : Kerajaan Selangor menerima sejumlah RM679.71 juta sebagai pemberian tahunan daripada Kerajaan Pusat melibatkan tujuh perkara termasuk pembangunan, insfrastruktur, pengurusan dan perkhidmatan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata kesemua peruntukan tahunan diterima dimasukkan dan diakaunkan di dalam kumpulan wang disatukan Kerajaan Negeri.

grafik-DNSAntara pemberian itu adalah Geran pemberian penyelenggaraan jalan raya negeri (Marris) sebanyak RM475.6 juta.

Geran pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup (Tahap) sebanyak RM15.9 juta dan Geran pemberian mengikut bilangan orang berjumlah RM64.2 juta.

“Lain-lain termasuk Geran pembiayaan perbelanjaan mengurus bagi jabatan di bawah senarai bersama (RM53.1 juta), Geran pemberian tahunan kepada Kerajaan Selangor (RM25.8 juta).

“Geran pemberian perkhidmatan 10 peratus dan penglibatan kakitangan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek persekutuan (RM9.4 juta) serta Geran pemberian petambahan hasil (RM35.4 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata, bagi Marris dan geran pemberian tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup, pemberian itu diakaunkan ke dalam akaun amanah disatukan mengikut ikatan amanah.

Manakala pemberian geran lain, katanya ia diakaunkan di dalam hasil disatukan.

“Tidak benar sebahagian besar peruntukan Kerajaan Pusat dimasukkan ke dalam akaun hasil seperti Marris yang dimasukkan terus ke dalam akaun amanah disatukan.

“Penggunaan ini mesti dioptimakan untuk penyelenggaraan jalan kerana kita tidak mahu jumlah wang besar ini disalahgunakan dan tidak sampai kepada kumpulan sasar,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :