Selangorkini
SELANGOR

MB: Sambutan tahun baru sarat mesej pembangunan, tolak konsert hiburan

Oleh : NAEEM RAFFI

HULU KELANG, 25 DIS: Sambutan ambang tahun baru 2015 peringkat Selangor akan disambut secara sederhana tetapi sarat dengan mesej pembangunan dan cetusan semangat rajin bekerja dalam kalangan rakyat, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, Kerajaan Negeri sama sekali menolak tradisi negara yang sering menganjurkan konsert hiburan secara mega bagi mewarnai sambutan tahun baru.

tahun-baru-orang-ramai“Kita sambut dalam skala yang cukup sederhana, tidak mewah dan membazir.

“Kita tidak mahu mewarisi sambutan cara lama yang sarat dengan hiburan, sebaliknya pengisian itu mempunyai mesej tertentu untuk mendidik rakyat bahawa sambutan tahun baru perlu diisi dengan semangat untuk gigih bekerja dan memberi fokus kepada pembangunan yang lebih holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ‘Back to School’ di AU3, Keramat di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri memberi fokus kepada pengisian sambutan dengan -mesej berguna untuk rakyat seperti program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan pameran keseniaan.

azmin“Seperti yang saya tekankan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2015 tempoh hari, pembangunan negeri ini bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi pembangunan modal insan yang merangkumi kesenian.

“Kita mempunyai ramai karyawan tempatan, jadi kesempatan ini diambil untuk mempamerkan hasil seni mereka secara besar-besaran,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, sambutan ambang tahun baru secara sederhana itu juga adalah sebagai menghormati beberapa tragedi besar yang berlaku di dalam negara seperti MH370, MH17 dan yang terbaru banjir besar di Pantai Timur.

“Bantuan kepada Kerajaan Kelantan ekoran tragedi banjir yang teruk pada tahun ini akan saya umumkan esok,” katanya.

Untuk rekod, Selangor memasuki tahun keempat mengekal konsep kesederhanaan dengan hiburan yang tidak melalaikan dan tema bersesuaian untuk semua peringkat usia.

-NFN-


Pengarang :