Selangorkini
SELANGOR

MBPJ diminta tangguh projek pembangunan semula Stesen Bas Jalan Othman

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 9 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diminta menangguhkan projek pembangunan semula Stesen Bas Jalan Othman di Petaling Jaya Old Town (PJ Old Town) bagi membolehkan perbincangan lebih khusus dilakukan.

ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishakaran, berkata penangguhan sekurang-kurangnya tiga bulan diperlukan untuk perbincangan lebih baik bersama komuniti di sini.

PC Rajiv dan Haniza berkenaan stesen bas di PJ Old Town (8)Katanya, pelan pembangunan projek peruntukan Kerajaan Pusat bernilai RM4 juta menjadikan stesen bas itu sebagai kawasan perniagaan bukannya hub bas seperti dicadangkan.

“Berdasarkan pelan pembangunan dikeluarkan, terdapat 18 buah kedai disediakan untuk perniagaan sedangkan hanya empat buah bas yang masuk ke stesen bas ini.

“Tiga daripada empat bas berkenaan adalah perkhidmatan Rapid KL sementara satu lagi bas adalah bas komuniti percuma MBPJ,” kata Rajiv dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, hanya satu bas Rapid KL U75 dari Pasar Seni ke Petaling Jaya Old Town yang menjadikan stesen bas ini sebagai transit terakhir.

“Hakikatnya kawasan ini sebenarnya memerlukan tempat letak kereta lebih besar memandangkan ia berdekatan pasar,” katanya.

Beliau sedia maklum seorang kontraktor dilantik Kerajaan Pusat namun perbincangan perlu dilakukan supaya tanah seluas satu ekar dapat dimanfaatkan.

“Pada 1 Disember lalu, komuniti dipanggil berbincang bersama MBPJ.

“Berdasarkan pelan luar, hanya ada dua laluan bas keluar. Ada dua laluan bas keluar ia tidak boleh dipanggil sebagai hub bas,” katanya.

EZY

 


Pengarang :