Selangorkini
SELANGOR

Meru dan Kapar banjir, kawasan lain terkawal

SHAH ALAM 28 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan setakat semalam hanya daerah Meru dan Kapar sahaja berdepan banjir manakala kawasan lain dilaporkan terkawal.

Pengarahnya Othman Abdullah berkata, setakat petang semalam seramai 115 mangsa daripada 28 keluarga di dua kawasan terbabit telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan Sekolah Kebangsaan Abdul Samad.

B5w22GUCcAE8QPo“Jumlah mangsa terlibat ini kesemuanya penduduk Sungai Binjai malah dilaporkan paras air satu kaki sahaja.

“Saya nasihatkan penduduk yang mendiami kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berjaga-jaga,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun jurucakap Pusat Gerakan Operasi Selangor melaporkan jumlah mangsa kelmarin paras air di kawasan terbabit telah mencapai paras tiga meter namun hari ini (semalam) menyusut kepada 0.6 meter.

“Insiden banjir ini dikesan berpunca daripada parit tersumbat. Bagaimanapun tiada kes baharu dilaporkan bertambah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ahmad Fauzi Kadri berkata, keadaan cuaca semalam yang baik dan cerah memberi harapan air akan surut segera.

“Hingga jam 4 petang (semalam) tiada berlaku penambahan mangsa banjir di dua pusat pemindahan itu,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di SK Sungai Binjai, semalam.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan situasi banjir di Kuala Lumpur dalam keadaan terkawal.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa mengadakan rondaan bagi mengenal pasti perkembangan terkini kawasan-kawasan berisiko dinaiki air.

EZY


Pengarang :