Selangorkini
SELANGOR

MPK ambil tindakan tegas premis haram tak patuh undang-undang

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memandang serius terhadap isu premis haram termasuk kediaman yang diubahsuai menjadi premis perniagaan dan akan bertindak tegas terhadap pengusaha atau pemilik tanah.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohammad Yacob berkata, struktur tanpa izin ini melibatkan pelbagai isu termasuk kebersihan dan ketenteraman awam.

Katanya, operasi bersepadu terhadap beberapa struktur tanpa izin termasuk kediaman dijadikan pusat mencuci kenderaaan di Nombor 52, Lorong Dato Abdul Hamid 16, Taman Sentosa,Nombor 1, Lorong Seri Damak 61, Taman Seri Andalas dan Nombor 1, Jalan Raja Nong, Taman Bunga Raya.

“MPK tidak akan berkompromi dengan premis haram ini, bahkan operasi gerak gempur akan diteruskan daripada semasa ke semasa.”

“MPK mengeluarkan notis pemberitahuan di bawah Seksyen 70, Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) untuk merobohkan struktur kepada pemilk tanah dan pengusaha dari Ogos 2014,” katanya lagi.

Sementara notis kedua dikeluarkan kepada pemilik tanah dan pengusaha di bawah Seksyen 72(1) dan 72(6) Akta yang sama pada Oktober 2014.

Tempoh pematuhan yang diberi 30 hari dan tamat pada November 2014. Lawatan terakhir selepas tamat tempoh itu mendapati arahan Majlis masih belum dipatuhi.

“Majlis menasihatkan semua pemilik tanah dan pengusaha di Klang, sekiranya bercadang untuk mendirikan bangunan dan menjalankan perniagaan perlu dapatkan nasihat dan kelulusan Majlis,” katanya.

EZY


Pengarang :