Selangorkini
BERITA UTAMA

Perlukah pentaksiran Tingkatan 3 (PTK3) dikekalkan?

Oleh: Dr Mohammad Agus Yusoff

Jam 9 pagi, saya keluar pejabat untuk ke SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi melihat reaksi anak murid dan ibu bapa menerima keputusan peperiksaan PTK3. Saya ke sekolah ini kerana inilah sekolah terbaik di daerah ini yang setiap tahun ratusan pelajarnya mendapat 8A ke atas.

pt3-2014Namun, tahun ini hanya 8 orang pelajar sahaja dari sekolah ini yang mendapat semua A.

Pencapaian sekolah ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan pencapaian dari sekolah berasrama penuh yang lain.

Maklumat awal yang saya perolehi menunjukkan hanya 11 orang dari Tunku Kursiah yang mendapat semua A, 10 dari Faris Petra, seorang dari SDAR, seorang dari Sakti, 21 orang dari Mozac dan 26 orang dari Tun Fatimah.

Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan PTK3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PTK3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir.

Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc, diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi.

Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak oleh guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya.

Betul, soalan PTK3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PTK3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?

Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita.

Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya.

 


Pengarang :