Selangorkini
BERITA UTAMA

Persempadanan Semula SPR – Untuk rakyat atau PM?

oleh Adeeba Adni

 Pakatan Rakyat akan mengalami kekalahan yang hebat, jika persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya dilaksanakan tanpa garis panduan yang adil dan seimbang.

Kenapakah sangat sedikit maklumat dihebahkan mengenai persempadanan semula kepada rakyat yang sangat berkepentingan untuk mengetahuinya?

sprAdakah persempadanan semula itu, yang dijangka akan berlakunya pertambahan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN, sebenarnya untuk rakyat atau Perdana Menteri Malaysia?

Adakah pertambahan kerusi itu memberi manfaat terbaik untuk rakyat?

Adakah proses dan pelaksanaan persempadanan itu menepati dasar perseimbangan, telus dan adil serta kebebasan memperolehi maklumat oleh golongan-golongan dan rakyat yang berkepentingan (stakeholders)?

Berbagai pihak telah mengutarakan pandangan dan bantahan berkaitan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya di Malaysia, sama ada di peringkat Parlimen atau DUN.

Ia suatu proses yang mesti diteliti oleh semua rakyat, tidak kira lapisan dan peringkat umur, khususnya mereka yang akan mengundi dalam pilihan raya ke-14 nanti.

Persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya perlulah dilandaskan pada suatu asas, dasar dan nilai yang adil dan saksama, bukan untuk memberi kemenangan kepada sesuatu pihak/parti politik.   Tetapi itulah yang akan berlaku jika rakyat tidak mengambil peduli tentangnya.   Pastilah, pemimpin yang menjadi pilihan sebagai wakil rakyat kita boleh kalah mudah dalam pilihan raya ke-14 nanti sekiranya perancangan persempadanan semula SPR tidak diteliti kaedah yang dipraktikkannya supaya adil persempadanan semula itu.

Pakatan Rakyat sewajarnya secara kolektif menolak sebarang usaha persempadanan semula kerana selama ini tiada perbincangan atau rundingan yang telus SPR bersama kesemua golongan berkepentingan (stakeholders) untuk memastikan proses dan persempadanan semula itu dilaksanakan secara jujur, wajar dan adil.

Panduan yang jelas perlu dikemukakan oleh SPR tentang bagaimanakah persempadanan yang baru itu akan dilakukan.   Para pengundi boleh mendapati diri mereka ditempatkan di kawasan mengundi yang berbeza tanpa pengetahuan mereka.   Ia perlu dipersoal secara menyeluruh dan terperinci sehingga dapat diketahui bentuk peta dan populasi serta demograsi yang telah teranjak akibat persempadanan semula itu.

Sewajarnya kesemua calon-calon wakil rakyat mempunyai peluang 50-50 untuk memenangi mana-mana pilihan raya.   Bukan kerana ditentukan oleh persempadanan semula sehingga peluang keberangkalian (probablity) yang saksama diputarbelit atau menjadi tidak seimbang (distorted or disproportionate) sehingga menghapus peluang 50-50 itu, dengan anggapan semua faktor lain adalah sama, akhirnya menjadi umpamanya 70-30.    Nisbah tersebut boleh terhasil jika persempadanan semula mengumpulkan pengundi berasaskan bangsa.

Apakah maksud persempadanan semula?

Ia bermaksud mengolah semula sempadan-sempadan kawasan pilihan raya oleh SPR dengan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 113 (2) (ii).

Ketika ini, perbandingan di antara negeri Selangor, Johor dan Sarawak adalah seperti jadual berikut:

 

Negeri

Populasi (juta)

Parlimen

DUN

Selangor

5866.4

22

56

Sarawak

2633.1

31

71

Johor

3532.8

26

56

Suara rakyat perlu diwakili di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, juga di Dewan Negara.   Sewajarnya di kawasan yang lebih ramai rakyat, bilangan wakil-wakil rakyat mereka adalah melebihi negeri yang mempunyai populasi rakyat yang lebih rendah.

Jadual di atas menunjukkan sebaliknya.   Selangor yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai di Malaysia hanya diwakili oleh duapuluh dua kerusi berbanding Sarawak yang tidak sampai 50% daripada jumlah penduduk Selangor diwakili oleh 31 kerusi Parlimen.

Negeri

Jumlah Kerusi Asal

Jumlah Kerusi Terkini

Parlimen

DUN

Parlimen

Dun

Selangor

14

28

22

56

Sarawak

24

48

31

71

Johor

16

32

26

56

Dalam hasrat Malaysia menuju status negara maju, isu persempadanan semula merupakan satu keutamaan dalam memastikan dasar-dasar tatakelola baik, ketelusan, keadilan dan kesaksamaan sesebuah pemerintahan kerajaan sebuah negara maju itu dipraktikkan.

Kawasan-kawasan yang dipersempadanankan semula perlulah mencerminkan demografi kawasan-kawasan yang terbabit, bukan dipersempadanankan mengikut pola bangsa/etnik atau mengikut kepentingan politik parti-parti tertentu.   Idealnya ialah dengan bercirikan kepelbagaian rakyat Malaysia (seperti laungan 1Malaysia itu).

Sebarang usaha SPR untuk persempadanan semula mestilah diumumkan secara online agar rakyat Malaysia di pelusuk manapun mereka berada boleh mengaksesnya dan boleh menggunakan hak kewrganegaraan Malaysianya untuk mengemukakan sebarang cadangan balas/bantahan dalam jangkawaktu yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia.

SPR sewajarnya menonjolkan ciri-ciri entiti yang mampu meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat (artikel 114 Perlembagaan Malaysia) dalam usaha, proses dan tindakan persempadanan semula.

SPR berisiko dilabel sebagai berpihak kepada Umno-Bn jika langkah-langkah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia  yang mendokong keadilan dan kesaksamaan sebagai asas segala tindakan SPR, khususnya dalam soal persempadanan semula, tidak dipenuhi.

Jika asas-asas itu tidak dipenuhi, kepalsuan 1Malaysia itu akan terbukti jelas sekali lagi.

* Adeeba Adni ialah seorang penulis bebas, yang mendokong aktivisme masyarakat kebajikan dan politik


Pengarang :