Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Piala AFF: Mengharapkan perlawanan positif di Hanoi

Kekalahan 2 – 1 kepada Vietnam di laman sendiri sudah pasti mengecewakan seluruh rakyat Malaysia amnya dan pada diri saya secara peribadi. Namun kepercayaan kepada Harimau Malaya untuk 90 minit di Hanoi nanti tidak akan sesekali luntur.

Semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Harimau Malaya di dalam stadium mahupun di rumah malam semalam jelas menunjukkan semangat ‘Demi Malaysia’ begitu kuat tidak kira kalah atau menang.

gaduhNamun, suasana yang harmoni itu telah dicemari oleh beberapa insiden yang agak memalukan penyokong bola sepak Malaysia dan nama Malaysia sendiri.

Insiden pergaduhan di dalam stadium dikalangan penyokong adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut sama sekali terjadi.

Lebih-lebih lagi apabila kita sebagai tuan rumah kepada lawan dari negara luar. Biar apa pun alasan yang diberikan yang mencetus kepada pergaduhan ini, tindakan membaling botol dan menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima sama sekali.

Jelas sekali insiden ini telah memberi pandangan dan tanggapan yang negatif oleh penyokong Vietnam dan seluruh peminat bola sepak dari luar negara.

Hanya kerana sejumlah kecil penyokong Malaysia yang bertindak ganas dan berkelakuan seperti itu, seluruh penyokong Malaysia telah terheret sama.

AMK mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam sukan seperti yang terjadi malam semalam. Saya juga mengharapkan pihak bertanggungjawab agar mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mereka ini demi keharmonian sukan di Malaysia.

Semoga Malaysia beroleh kejayaan dalam pusingan kedua di Hanoi nanti.

* NIK NAZMI NIK AHMAD adalah Ketua AMK Malaysia


Pengarang :