Selangorkini
SELANGOR

Potong gaji MB, Speaker, Exco berkuatkuasa 1 Januari 2015

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 DEC : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan pengurangan gaji empat jawatan tertinggi dalam kerajaan melibatkan Speaker, Timbalan Speaker, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuatkuasa 1 Januari 2015.

Bagi Speaker, gaji asal RM22,500 ditolak sebanyak 33.33% menjadi RM15,000, Timbalan Speaker daripada 15,750 kepada RM10,000 (36.51%), Menteri Besar daripada RM29,250 kepada RM25,000 (14.53%) dan Exco RM20,250 kepada RM15,000 (25.93%).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan yang dilakukan itu berdasarkan keputusan mesyuarat presiden Pakatan Rakyat (PR) supaya kenaikan gaji dan elaun pada tahun 2013 disemak sesuai dengan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

Bagaimanapun, katanya gaji dan elaun bagi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan dikekalkan.

“Semakan agak munasabah dan mengambil kira perasaan rakyat untuk pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan.

“Bebaan tugas Adun besar, sebab itu kita tidak bercadang untuk menyemak elaun dan gaji Adun kerana gaji mereka munasabah dengan tugasan selama ini,” katanya ketika membahaskan perkara itu hari ini.

Sebelum ini, Azmin menyatakan langkah pengurangan gaji itu adalah bagi mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerana mahu menumpukan kepada perbelanjaan sektor pembangunan.

Beliau berkata pengurangan itu juga termasuk perbelanjaan keraian dan elaun kakitangan.

Katanya, formula bajet peringkat persekutuan di Parlimen, yang memperuntukan 80% perbelanjaan mengurus dan 20% bagi pembangunan sebelum ini, memberi kesan kepada rakyat bawahan.

Sidang DUN Selangor pada 27 November, 2013 meluluskan kenaikan gaji MB sebanyak RM29,250, exco RM20,250, speaker RM22,500, timbalan speaker RM15,750 dan ahli DUN (Adun) RM11,250.

Kenaikan sehingga 300% itu bermula pada Januari 2014.

Sidang DUN pada April 2014 kemudian meluluskan pemotongan elaun MB menjadi RM14,175.15, exco RM15,000, speaker RM15,000 dan timbalan speaker RM12,000.

Kadar pemotongan itu disalurkan ke dalam Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Namun, elaun bagi Adun masih dikekalkan.


Pengarang :