Selangorkini
SELANGOR

PR minta pertimbang tambah dana pengurusan, BN pertikai hanya diberi elaun

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memberi pendapat berbeza berhubung keputusan Kerajaan Selangor untuk tidak menaikkan peruntukan pengurusan pejabat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berkata, beliau bersama Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) akan terus membawa usul itu tahun depan memandangkan lebih banyak program akan dilaksanakan di kawasan DUN.

Katanya, beliau menjangkakan kapasiti kerja kakitangan di DUN akan bertambah, sekali gus meningkatkan kos pengurusan pejabat melihat kepada Belanjawan Selangor 2015.

Gan Pei Nei“Jadi, kita minta penambahan peruntukan supaya ada kakitangan dengan kelayakan berpatutan dan kapasiti kerja untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita memerlukan kakitangan yang ramai untuk melaksanakan program Kerajaan Negeri,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mungkin boleh mempertimbangkan untuk menambah sedikit peruntukan bagi urusan kebajikan kakitangan dan pengurusan pejabat jika RM30,000 itu terlalu besar.

Katanya, kebanyakan ADUN terpaksa menggunakan dana sendiri untuk menambah peruntukan sedia ada bagi urusan pejabat.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh meningkatkan dana untuk pengurusan kawasan atas niat untuk perkhidmatan baik,” katanya.

permatangSementara itu, Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pula berkata, wakil rakyat pembangkang tidak menerima peruntukan berkenaan, sebaliknya hanya menerima elaun dan gaji sebagai ADUN.

Katanya, Kerajaan Negeri harus berlaku adil kepada semua wakil rakyat memandangkan ADUN Barisan Nasional (BN) juga perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kami juga wajar diberi peruntukan kerana ini soal pengurusan pejabat bukan untuk kepentingan ADUN tetapi pengurusan. Ini bukan macam isu RM200,000 tetapi soal kemudahan,” katanya.

Beliau turut berpandangan kenaikan yang dipohon ADUN PR sehingga RM30,000 itu juga terlalu tinggi dan melibatkan kewangan besar.

“Mungkin tidak dinaikkan sebab Kerajaan Negeri ada enakmen tertentu atau halangan yang melibatkan kewangan.

“Tetapi untuk menaikkan (jumlahnya) agak besar, dalam suasana semasa mungkin wajar, namun tidak perlu sampai kenaikan 300 peratus,” katanya.

Semalam, Kerajaan Selangor memaklumkan tidak berhasrat untuk menaikkan peruntukan pengurusan pejabat ADUN daripada RM10,000 kepada RM30,000 setahun.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan mesyuarat exco bertarikh 4 September 2013 meluluskan bayaran RM10,000 sebulan yang dibayar terus melalui Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penyelarasan bayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tiga pembantu tadbir termasuk bayaran utiliti.

Selain itu, katanya, peruntukan RM20,000 untuk pengubahsuaian pejabat diberikan lima tahun sekali dengan peruntukan ADUN.

-NFN-


Pengarang :