Selangorkini
AGAMA

Saloni : “Saya tidak pernah suka Islam”

Oleh  AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 OKT : Sering diejek dan dipersenda segelintir rakan sebaya berbangsa Melayu hanya kerana dirinya berasal dari suku kaum orang asli menjadikan wanita keturunan Mahmeri ini begitu jelek terhadap Islam.

Bagi Saloni Abdullah, 45, Islam itu pada mulanya dilihat sebagai agama tidak baik dan hanya mengajar penganutnya melakukan keburukan meskipun hakikatnya tidak semua begitu.

maal

Malah anak kelahiran Sungai Pelek, Sepang itu sering menganggap halangan Islam terhadap beberapa perkara seperti larangan mengambil minuman keras dan makan makanan haram menjauhkan niatnya untuk mendekati, jauh sekali mendalami agama Allah itu.

“Untuk permulaan, saya tidak suka Islam kerana saya menganggap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.

“Bila berlaku perkara yang tidak diingini contohnya orang Melayu mengejek masyarakat orang asli, saya terus tidak berminat dengan agama Islam kerana saya beranggapan Islam itu tidak baik

“Saya juga tiada batasan dari segi hubungan, pergaulan dan percakapan…boleh minum, hisap rokok, malam keluar joget kerana bagi orang asli itu semua tiada masalah,” katanya.

Menyedari dirinya yang tiada matlamat dan hala tuju di dalam hidup, akhirnya teman rapat Saloni yang beragama Islam memberanikan diri mengajak beliau untuk berhijrah mengenal keindahan agama yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Tetapi pelawaan itu ditolak kerana baginya memiliki pegangan agama itu sukar, apatah lagi beliau sendiri tidak pernah mengikuti ajaran serta ritual yang diamalkan oleh nenek moyangnya.

“Saya sendiri tidak faham ajaran dan ritual yang dilakukan oleh nenek moyang saya, malah penyembahan juga saya tidak pernah ikut.

“Jiwa saya terlalu kosong hingga saya keliru agama mana yang perlu diikut sebenarnya,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif Unit Pembangunan dan Pengurusan Mualaf Majlis Agama Islam Selangor Daerah Kuala Langat.

Namun, benarlah kata-kata bahawa Allah itu datangkan hidayah dalam pelbagai bentuk dan cara tidak kira waktu dan masa, siapa, bila atau di mana.

Alunan ayat suci al-Quran dan laungan takbir yang didengari setiap kali menjelang sambutan perayaan umat Islam bagaikan mengetuk pintu hati Saloni dan menjadikan perasaan yang bermukim itu sesuatu yang luar biasa.

Memendam hasrat untuk mendekati agama Allah itu selama hampir satu tahun, akhirnya beliau yang pada ketika itu berumur 18 tahun membenarkan lidahnya mengucap kalimah “Asyhadualla ila ha illAllah, waasyhadu anna Muhammadurasulullah” pada 26 Jun 1987.

Mengakui bahawa ia dilakukan secara ikhlas namun tersembunyi, Saloni berkata perkara itu terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan keluarga dan orang kampung selama hampir setengah tahun.

“Saya jarang balik kampung kerana duduk di asrama waktu itu (Tingkatan Enam) tetapi bila pulang ke rumah, saya berlagak macam biasa.

“Disebabkan ahli keluarga saya masih makan makanan tidak halal, maka saya terpaksa makan secara sembunyi sehingga ibu mula perasan tentang perubahan diri saya,” katanya yang kini lebih dikenali sebagai Ustazah Saloni.

Bercerita lanjut, Saloni berkata keluarga akhirnya mendapat tahu tentang pengislamannya melalui orang kampung dan tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau tidak lagi mengikut ajaran nenek moyang.

Katanya ibu adalah orang yang paling kuat menentang sehingga memberi amaran kepadanya supaya tidak mengajak ahli keluarga lain untuk menganut agama Islam.

Namun berkat kesabaran yang ditekan dalam ajaran Islam akhirnya membuka pintu hati keluarganya untuk memaafkan Saloni meskipun menyedari kini mereka berbeza agama.

“Semasa sambutan hari raya, saya salam ibu dalam keadaan dia sedang marah hingga akhirnya dia menitiskan air mata kerana tersentuh dengan sikap hormat saya padanya.

“Alhamdulillah sekarang keluarga sudah boleh menerima kerana kita sudah tunjuk contoh yang baik bahawa saya peluk Islam ikhlas kerana Allah Taala,” katanya lagi yang kini sudah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata.

Malah Saloni berharap dan sentiasa berdoa agar ibunya turut diberikan hidayah oleh Allah s.w.t suatu hari nanti.

Kini setelah 18 tahun memeluk agama Islam, Saloni menggambarkan cantiknya Islam kerana dalam Islam ada peraturannya yang tersendiri. Setiap suruhan dan arahannya ada hikmah di sebaliknya.

Contohnya mengapa wanita Islam menutup aurat, sembahyang apabila sampai waktunya supaya setiap waktu kita terselamat daripada melakukan dosa dan sentiasa hampir dengan Maha Pencipta.

Beliau kini masih lagi aktif menyampaikan dakwah kepada komuniti orang asli di kediamannya bersama suami tercinta dan berharap lebih ramai suku kaum itu akan mendekati Islam.

Atas kesungguhannya mendalami Islam, Saloni dipilih untuk menerima Tokoh Saudara Kita pada Sambutan Maal Hijrah 2014.

 


Pengarang :