Selangorkini
SELANGOR

Selangor anjur Kejohanan Snooker & Pool Generasi Muda Tertutup 20 Disember

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 DIS: Kejohanan Snooker dan Pool Generasi Muda Tertutup Selangor 2014 akan dilangsungkan di Golden Break Snooker and Pool Club, USJ1 Subang Jaya, pada 20 dan 21 Disember ini.

Ia dianjurkan bersama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawanan dengan Bahagian Pembangunan Belia, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor buat kali pertama yang turut membabitkan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawanan, Amirudin Shari berkata, kejohanan terbabit menawarkan hadiah terkumpul RM20,000 dengan yuran penyertaan RM30 seorang.

IMG_6351“Kejohanan ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk mengangkat dan mengembangkan permainan ini ke arah yang positif sesuai dengan tema iaitu Ke Arah Persepsi Yang Sihat,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kejohanan itu dibuka kepada semua generasi muda berusia 16 hingga 35 tahun di Selangor yang mempunyai bakat dan minat dalam dua permainan itu.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan 50 peserta untuk menyertai permainan snooker, manakala 250 untuk pool.

“Kerajaan Negeri berharap penganjuran program ini akan menjadi landasan yang sihat kepada generasi muda di Selangor untuk memahami dua permainan ini,” katanya.

-NFN-


Pengarang :