Selangorkini
SELANGOR

Selangor dikenal pasti berpotensi miliki nadir bumi: ASM

KUALA LUMPUR, 10 DIS (Bernama): Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang dikenal pasti sebagai negeri yang mempunyai simpanan nadir bumi (rare earth element) dengan nilai komersial.

akademi-sainsPresiden Akademi Sains Malaysia Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata tujuh negeri berkenaan mempunyai tanah liat mineral (penyerapan ion) yang boleh digunakan untuk membuat produk pengguna dan barangan industri yang canggih.

“Tanah liat mineral berkenaan mempunyai nadir bumi tidak radioaktif dan selamat untuk digunakan dalam kereta hibrid, telefon dan sel bahan api.

“Jika kerajaan mahu membangunkannya sebagai sumber hasil masa depan dalam industri nadir bumi, sejumlah kecil akan menghasilkan perbezaan dari segi prestasi produk,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan rangka tindakan bagi penubuhan industri nadir bumi di Malaysia di sini Isnin.

“Sebagai permulaan, kerajaan akan melabur kira-kira RM10 juta untuk meneroka nadir bumi dalam tanah liat penyerapan ion di Perak memandangkan negeri itu telah terlibat dalam perlombongan bijih timah lebih 100 tahun.

“Apabila selesai di Perak, kerajaan boleh menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menjalankan kajian yang sama di negeri-negeri lain,” kata Ahmad Tajuddin, sambil menambah bahawa pelabur tempatan dan asing perlu menceburi industri nadir bumi di sini.

Beliau berkata pelan tindakan itu dilancarkan selepas kajian yang telah dilaksanakan ASM untuk mencari peluang bagi industri nadir bumi di Malaysia.

Penilaian awal yang dijalankan oleh ASM mendapati sumbangan minimum yang dijangka daripada industri nadir bumi kepada ekonomi negara dari segi pelaburan langsung asing, keluaran dalam negara kasar dan pekerjaan, masing-masing pada 2.4 peratus (RM1.5 bilion), satu peratus (RM10.137 bilion) dan 0.04 peratus (5,000 pekerjaan setahun)pada tahun 2020.


Pengarang :