SELANGOR

Selangor negeri pertama tetapkan Ketua Pembangkang jadi Pengerusi PAC

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 DIS: Selangor menjadi negeri pertama yang menetapkan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS) dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Kerajaan (PAC).

Speaker DNS, Hannah Yeoh, berkata DNS meminta peraturan tetap dewan dan menjadikan pelantikan itu wajib dan jawatan terbabit dikhaskan kepada Ketua Pembangkang.

PC Hannah Yeoh (ASRI) (8)“Jawatankuasa PAC mesti dipengerusikan Ketua Pembangkang. Kita menjadi yang pertama di Malaysia meletakkannya dalam peraturan tetap.

“Ini bagi memastikan hak dan kedudukan Ketua Pembangkang dilindungi tanpa mengambil kira pihak mana menjadi kerajaan dan pembangkang pada masa depan,” katanya dalam sidang media selepas DNS ditangguhkan di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang DNS, Datuk Shamsudin Lias dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Kerajaan (PAC) menggantikan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, Shamsudin sebelum ini menolak dilantik ke jawatan itu dua kali dan sekiranya beliau kekal dengan keputusan sama maka jawatan selaku Ketua Pembangkang perlu dikosongkannya.

“Umno Selangor kena putuskan siapa nak dilantik jadi Ketua Pembangkang. Sekarang ini Kerajaan Negeri beri kereta rasmi dan elaun khas kepada Ketua Pembangkang.

“Dengan semua kemudahan ini, Kerajaan Negeri tetap mengatakan beliau mesti melaksanakan tangungjawab sebagai Pengerusi PAC,” katanya.

Bagaimanapun, Hannah berkata, pihaknya akan menunggu keputusan rasmi daripada Shamsudin.

Usul terbabit dikemukakan Tan Pok Shyong (DAP-Pandamaran) dan disokong Iskandar Abdul Samad (PAS-Chempaka) dan diluluskan DNS.

Hannah berkata, DNS turut meluluskan berapa pelantikan jawatankuasa lain berikutan pertukaran jawatan di kalangan beberapa ADUN sebagai Exco Kerajaan Negeri.

EZY


Pengarang :