Selangorkini
SELANGOR

Selangor tidak perlu undang-undang tutup premis sewaktu solat Jumaat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri tidak bercadang mengadakan undang-undang menutup premis perniagaan dan pasar raya sewaktu solat Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perkara itu sukar dilakukan di negeri yang mempunyai kepadatan penduduk berbilang bangsa dan agama.

“Bagaimanapun kita boleh membuat penguatkuasaan terhadap mana-mana majikan yang didapati menghalang pekerja lelaki pergi menunaikan Solat Jumaat.

“Terdapat juga beberapa tempat di Selangor yang menetapkan premis gerai ditutup ketika waktu solat Jumaat,” katanya kepada pemberita.

surau INPENS solat jemaah 01

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis perasmian penutup Program Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor di Intekma Resort & Convention Center, tengah hari tadi.

Semalam, Kerajaan Negeri Terengganu mengarahkan semua pasar raya di negeri itu ditutup pada hari Jumaat mulai 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang mulai Januari tahun depan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak umat Islam terutama golongan muda tidak menunaikan solat Jumaat dengan melepak di premis berkenaan.

Di Selangor, beberapa DUN seperti di Paya Jaras dan Meru yang mempunyai majoriti penduduk Islam dikatakan menutup premis dan gerai selama dua jam sewaktu solat Jumaat.


Pengarang :