Selangorkini
SELANGOR

Selepas 14 tahun, 56 penduduk Kampung Lembah Jaya gembira dapat geran tanah

Oleh : NAEEM RAFFI

KUALA SELANGOR,19 DIS: Hasrat 56 penduduk Kampung Lembah Jaya, di sini, memiliki geran tanah sendiri akhirnya tercapai apabila mereka menerima Surat Kelulusan dan Borang 5A dari Kerajaan Negeri, hari ini.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, dalam program turun padang ke daerah Kuala Selangor.

“Kerajaan Negeri melihat isu pemilikan tanah ini sebagai isu penting dan kita sentiasa berusaha memastikan penduduk yang layak menerima tanah sebagai satu jaminan kepada rakyat untuk memiliki tanah kediaman yang kekal untuk diduduki anak mereka pada masa depan,” katanya.

azminMohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan dan borang 5A kepada penduduk Kampung Lembah Pantai, di Balai Penghulu Tanjung Karang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi, Elizabeth Wong dan YDP MDKS, Noraini Roslan serta ADUN Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias.

Borang 5A adalah surat tawaran milikan tanah dari Kerajaan Negeri kepada sesorang individu dan penerima tawaran hanya dikenakan premium serendah RM1,000.

Berbanding ketika era BN, penerima borang 5A dikehendaki membayar premium sekurang-kurangnya 20 peratus dari nilai tanah, yang mana ia memberatkan penerima tawaran yang berpendapatan rendah untuk memiliki tanah itu.

Gran tanah - bestari jaya 1Penduduk, Abdullah Hussin, 64 ternyata gembira apabila dirinya memiliki tanah sendiri selepas lebih 14 tahun menanti.

“Sebelum ini, saya hidup berteka teki, tak tahu untung nasib duduk di atas tanah yang tidak ada hitam putih.

“Terima kasih Kerajaan Negeri yang prihatin serta memudahkan urusan rakyat memiliki tanah kediaman,”katanya ketika ditemui Selangor Kini.

Bagi Saamah Ismail, 67, dia menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat.

“Ini bukti jelas Kerajaan Negeri prihatin kepada masalah rakyat walaupun ia berlaku di kawasan pembangkang (Tanjung Karang). Dengan adanya geran sendiri, hidup saya dan keluarga lebih terjamin,” katanya.

Untuk rekod, tanah itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 21 Ogos 2013 bagi tujuan pembangunan kediaman di atas sebidang tanah berkeluasan 17.6 ekar.

Sebelum ini, penduduk berkenaan menetap berhampiran Taman Sri Bakti, Tanjung Karang sejak 1999 sebelum diarahkan berpindah ke Tanah Rezab Melayu Kampung Lembah Pantai berikutan pembesaran parit.

-NFN-


Pengarang :